HUN 2025: Pemangkin Jaringan Ekonomi dan Lonjakan Eksport Produk Tempatan
- MYB
- 46 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Hari Usahawan Negara 2025 (HUN 2025) yang sedang berlangsung di Stadium Bukit Jalil bukan sekadar pameran keusahawanan, tetapi menjadi medan strategik penting dalam memperkukuh jaringan ekonomi dan membuka laluan eksport global bagi produk tempatan.

Dengan tema “Usahawan Nadi Negara”, acara tahunan anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) ini menghimpunkan ribuan usahawan dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Vietnam, Hong Kong, China dan Taiwan. Kehadiran antarabangsa ini menegaskan kedudukan HUN sebagai platform berimpak global yang mampu melonjakkan jenama Malaysia ke persada dunia.
Presiden DPUM, Dato' Seri Hj Abu Hasan bin Mohd Nor, menyifatkan HUN 2025 sebagai wadah penting untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing usahawan.
“Menjadi usahawan bukan mudah. Ia menuntut kekuatan mental, disiplin dan semangat inovatif. DPUM komited menyediakan program dan seminar yang relevan agar usahawan mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Antara tarikan utama ialah pameran produk Ready-to-Eat dan Ready-to-Export yang membuka peluang luas kepada usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, sesi interaktif, persembahan selebriti tempatan dan kemasukan percuma menjadikan acara ini inklusif dan mesra pengunjung.
Majlis perasmian HUN 2025 oleh Yang Amat Mulia Raja Saidatul Mardiah binti Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah yang menekankan pentingnya inovasi, adaptasi teknologi digital serta nilai integriti dalam perniagaan. Sokongan padu turut diberikan oleh tokoh korporat dan wakil agensi kerajaan.

HUN 2025 juga memberi penekanan kepada transformasi digital seperti e-dagang, automasi dan kecerdasan buatan sebagai tonggak baharu dalam landskap perniagaan. Peranan belia dan wanita turut diketengahkan sebagai pelapis penting dalam pembangunan ekonomi negara. HUN 2025 turut menyaksikan beberapa memorandum persefahaman dimeterai antara DPUM dengan beberapa pemain industri di Malaysia
Dengan berlangsungnya acara ini dari 11 hingga 16 September, HUN 2025 membuktikan bahawa usahawan Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah berpotensi menjadi pemain utama dalam ekonomi global.