top of page

Inovator Malaysia ‘Menggila’, Penyertaan INNOVATHON Musim Ke-3 Melonjak Lebih 100%

  • Writer: MYB
    MYB
  • 3 hari lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Program realiti inovasi tempatan, INNOVATHON musim ketiga, mencatat sejarah apabila berjaya menarik minat lebih daripada 2,000 penyertaan tahun ini, sekali gus menyaksikan peningkatan mendadak lebih 100% berbanding musim terdahulu.


Inovator Malaysia ‘Menggila’, Penyertaan INNOVATHON Musim Ke-3 Melonjak Lebih 100%
Majlis pelancaran INNOVATHON Musim ke-3 yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur disempurnakan oleh (tengah) YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Ekonomi Turut hadir dalam sidang media adalah YBhg. Dato’ Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Ham bin hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Berita gembira ini diumumkan pada Sidang Media Program INNOVATHON Musim Ketiga yang disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Ekonomi, di Saloma Kuala Lumpur, hari ini.


Program yang diwujudkan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini menyaksikan jumlah penyertaan melonjak kepada 2,032 pada tahun 2025, berbanding 1,003 pada tahun 2024.


Peningkatan signifikan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin berani tampil ke hadapan untuk memperagakan produk-produk inovasi tempatan yang bermutu tinggi dan berimpak besar kepada masyarakat.


Menteri Ekonomi turut mengumumkan komitmen Kerajaan dalam mengukuhkan semangat daya cipta dengan menaikkan nilai hadiah keseluruhan bagi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan.


Dana tersebut telah ditingkatkan daripada RM1.0 juta kepada RM1.65 juta pada tahun ini. Seramai 56 inovator tempatan akan bersaing untuk merebut Hadiah Utama iaitu wang tunai sebanyak RM100,000 berserta Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan sebanyak RM500,000.


Inovator Malaysia ‘Menggila’, Penyertaan INNOVATHON Musim Ke-3 Melonjak Lebih 100%
Musim kali ini turut memperkenalkan uji bakat bersasar di lima lokasi strategik termasuk Cradle Fund, NIH, UiTM Melaka, Akademi Bomba Kuala Kubu Bharu dan UPM, selain sesi terbuka di enam zon seluruh negara.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, peningkatan ini selaras dengan salah satu keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), iaitu Meningkatkan Kerencaman Ekonomi melalui strategi Pemantapan Ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I).


Musim ketiga INNOVATHON ini turut membawa kelainan dengan memperkenalkan pelaksanaan uji bakat secara bersasar di lima lokasi terpilih, mengambil kira potensi dan minat tinggi dalam bidang inovasi di agensi dan Institusi Pendidikan Tinggi.


Menariknya, trend inovasi yang ditonjolkan pada musim kali ini tertumpu kepada inovasi berasaskan teknologi untuk kegunaan harian. Ini termasuk idea-idea dalam bidang automotif, perindustrian, dan peralatan kesihatan.


Program realiti lapan (8) episod ini akan mula ditayangkan bermula 6 Disember 2025 sehingga 25 Januari 2026 di saluran Astro Ria dan TV1 RTM. INNOVATHON diharapkan dapat terus berkembang dan membantu inovator tempatan mengkomersialkan produk mereka seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.



Komen


bottom of page