Repvblik Bakal Gegarkan Zepp KL Februari 2026!
- MYB
- 11 Nov
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penantian peminat setia kumpulan pop-rock sensasi Indonesia, Repvblik, bakal berakhir apabila mereka dijadualkan kembali ke Malaysia untuk persembahan berskala besar yang eksklusif. Konsert yang diberi nama "Sandiwara Cinta - Repvblik Live in Kuala Lumpur" ini bakal menjadi antara acara pembuka tirai tahun 2026 yang paling berprestij dalam kalendar muzik tempatan.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, konsert istimewa ini akan berlangsung pada 8 Februari 2026, bertempat di lokasi persembahan terkemuka, Zepp Kuala Lumpur.
Repvblik, yang terkenal dengan identiti muzik pop-rock yang kuat dan lirik yang menyentuh hati, kini dianggotai oleh (vokalis utama) Ruri, (pemain gitar) Hexa, dan (pemain bass) Tyrex. Kumpulan ini dijangka akan membawa penonton menyelusuri perjalanan emosi penuh kenangan.
Antara rangkaian lagu hit yang menjadi siulan ramai dan dijangka memukau penonton termasuklah Sandiwara Cinta, Aku Tetap Cinta, Selimut Tetangga, Tiada Guna Lagi, dan Hanya Ingin Kau Tahu. Populariti lagu-lagu mereka bukan sahaja diminati di Indonesia, malah turut menduduki carta popular di Malaysia dan beberapa negara jiran.
Konsert ini dijanjikan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi akan menampilkan produksi bertaraf antarabangsa. Sistem bunyi, pencahayaan, dan visual dirancang secara teliti bagi memberikan pengalaman konsert yang luar biasa.
Menurut wakil Rockstage Entertainment, pemilihan Zepp Kuala Lumpur adalah simbolik kepada standard penganjuran bertaraf antarabangsa. Fasiliti canggih dan ruang akustik yang sempurna di Zepp KL diyakini mampu memberikan pengalaman audio-visual yang tiada tandingan kepada para peminat.
Penganjur turut menjelaskan bahawa konsert ini merupakan platform untuk memperkukuh jalinan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui muzik.
"Repvblik mempunyai pengikut yang sangat setia di Malaysia. Kami ingin memberikan pengalaman konsert yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyentuh jiwa penonton," jelas wakil penganjur.
Tiket konsert kini boleh didapati melalui laman web rasmi www.myticketempire.com. Peminat disaran untuk mendapatkan tiket seawal mungkin memandangkan kapasiti tempat duduk adalah terhad dan sambutan awal dijangka sangat menggalakkan. Harga tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori yang bermula dari sekitar RM190 hingga RM600 (tidak termasuk yuran), merangkumi tempat duduk normal hingga RSE Box eksklusif.













Komen