Gagal Selesai Saman Fitnah RM281,000: Datuk Haris Embong & Arisprop Pertimbang Sita Aset atau Fail Kebankrapan Terhadap Rafidah Ibrahim
- MYB
- 26 Sep
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR - Datuk Haris Embong, ahli perniagaan dan Pengarah Urusan Arisprop Holdings Sdn Bhd, serta syarikatnya sedang mempertimbangkan tindakan susulan yang tegas termasuk menyita aset atau memfailkan kebankrapan terhadap selebriti, Rafidah Ibrahim. Langkah ini diambil susulan kegagalan Rafidah melunaskan bayaran saman fitnah berjumlah keseluruhan RM281,000 seperti yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Datuk Haris Embong menjelaskan bahawa tindakan ini merupakan langkah terakhir selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2024 yang memihak kepada beliau dan Arisprop Holdings masih belum dipatuhi sehingga kini. Beliau menegaskan langkah tersebut penting demi memastikan keputusan mahkamah dihormati serta menjaga hak dan kepentingan syarikatnya.
Saman fitnah tersebut difailkan pada November 2021 berikutan dua hantaran yang diterbitkan oleh Rafidah di media sosial pada sekitar September dan Oktober tahun yang sama.
Hantaran-hantaran tersebut membawa maksud yang menyatakan Datuk Haris Embong melakukan perbuatan tidak bermoral, manakala syarikat Arisprop dituduh mempraktikkan amalan perniagaan tidak beretika dan tidak berpatutan.
Perbicaraan saman fitnah telah berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Mei 2024 , sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada plaintif pada Julai 2024.
Mengikut perincian penghakiman, Rafidah diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datuk Haris Embong dan RM150,000 kepada syarikat Arisprop Holdings Sdn Bhd. Jumlah tersebut termasuk faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh , kos RM30,000 , dan fi alokator RM1,200. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar mencecah RM281,000.

Datuk Haris Embong memaklumkan bahawa notis menuntut pembayaran telah dikeluarkan sebanyak dua kali, iaitu pada 20 Ogos 2024 dan notis tuntutan kali kedua pada 19 September 2025 , namun sehingga kini masih tiada sebarang bayaran ganti rugi dan kos dibuat oleh Rafidah Ibrahim.
Walaupun Rafidah Ibrahim telah memfailkan rayuan pada Ogos 2024 ke Mahkamah Rayuan, beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Pihak Datuk Haris dan Arisprop Holdings telah mendapatkan nasihat guaman daripada Tetuan Izral Partnership berhubung tindakan susulan yang sesuai untuk memastikan pematuhan keputusan mahkamah.
Datuk Haris Embong menegaskan bahawa tindakan undang-undang ini bukan soal dendam peribadi, sebaliknya adalah untuk membersihkan nama beliau dan syarikat daripada tuduhan tidak berasas.









Komen