JPJ Wilayah Persekutuan Lawat GGR Motor: Sokong Padu Pengeluar Motosikal EV Pertama Malaysia
- MYB
- 5 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — GGR Motor, pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan, menerima kunjungan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan dalam satu lawatan kerja yang berlangsung di kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd, Kampung Sungai Penchala, baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Eric Jusiang, bersama 25 anggota JPJ bertujuan untuk meninjau secara langsung operasi pemasangan motosikal EV serta memahami lebih dekat proses pengeluaran yang dijalankan oleh GGR Motor.
Kunjungan ini disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Pengarah Urusan, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.
Menurut Mussaddiq, lawatan ini merupakan satu titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV tempatan mematuhi piawaian dan undang-undang yang ditetapkan. Beliau menyifatkan kehadiran JPJ sebagai satu penghargaan terhadap usaha GGR Motor membangunkan industri EV di Malaysia.
Dalam sesi lawatan tersebut, pegawai JPJ diberi taklimat operasi dan dibawa melawat ke bahagian pemasangan, jualan aksesori, bengkel servis serta operasi syarikat yang menyokong ekosistem kenderaan elektrik. Mussaddiq turut memaklumkan bahawa motosikal EV jenama Lion G1 kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu, dengan lebih 6,000 unit tempahan dijangka diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat.

Lion G1 merupakan model sulung GGR Motor yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan, direka khusus untuk pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik dan mesra alam. Sambutan terhadap model ini amat memberangsangkan, mencatat lebih 2,500 unit tempahan hanya dalam seminggu selepas pelancarannya pada Julai lalu.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, GGR Motor merancang untuk membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung Malaysia di atas tapak seluas satu ekar. Kilang ini dijangka menjadi hab pengeluaran utama bagi Lion G1 dan model-model akan datang, serta membuka lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Usaha GGR Motor turut diperkuatkan melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), yang merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan.
Lawatan JPJ ini menjadi bukti sokongan kerajaan terhadap pembangunan industri EV tempatan, sekaligus membuka lembaran baharu bagi GGR Motor dalam merealisasikan visi menjadikan Malaysia sebagai hab motosikal elektrik di rantau ASEAN.
Komen