• MYB

Kajang United BC Rangkul Kejuaraan Sulung Pada Saingan AEON Credit Purple League Junior 2021/2022

Saingan AEON Credit Purple League Junior 2021/2022 (ACPLJ) melabuhkan tirainya dengan dramatik apabila pasukan Kajang United BC muncul juara selepas menewaskan Ayer Itam BC dengan meraih mata sebanyak 176 berbalas 122 pada perlawanan akhir petang tadi.

Aksi yang berlangsung di House of Champions, Gem In Mall di sini itu menyaksikan pasangan beregu campuran sang juara tidak perlu bermandi peluh apabila lawan mereka menarik diri di saat-saat akhir sekaligus memberi kemenangan percuma 3-0 (11-0, 11-0, 11-0).

Ayer Itam BC bagaimanapun cuba bangkit pada perlawanan kedua menerusi taruhan perseorangan lelaki mereka Tan Wei Liang yang menewaskan Amirul Imran dengan ‘straight set’ 11-10, 11-10 dan 11-6 menjadikan kedudukan tiga sama.

Kajang United BC meraikan kejuaraan mereka bersama-sama tetamu kehormat Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League, Ho Khek Mong (paling kiri) dan Pengarah Urusan AEON Credit Service (M) Berhad, Daisuke Maeda (paling kanan).

Situasi seakan berpihak kepada Ayer Itam BC pada perlawanan ketiga apabila perseorangan perempuan mereka Oo Shan Zi mencatat kemenangan 3-1 (6-11, 11-9, 11-6, 11-10) ke atas Lee Yu Shan serta kemenangan sensasi Chong Jenson – Ooi Yi Hern ke atas pasangan beregu lelaki Kajang United BC, Goh Yi Qin – Wong Zhi Kang 3-2 (7-11, 10-11, 11-10, 11-8, 11-8).

Bagaimanapun, nasib memihak kepada Kajang United BC apabila mereka sekali lagi diberi kemenangan percuma 3-0 selepas Ayer Itam BC mengambil keputusan untuk menarik diri.

Bagi ketua jurulatih Kajang United, Fung Seng, beliau lega dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya. Jelasnya, “Kami telah melakukan persiapan sejak tahun lalu meskipun diselubungi dengan pandemik. Tetapi mereka tetap bekerja keras dan menunjukkan keinginan dan semangat yang tinggi untuk menang meskipun keputusan hari ini agak kurang memihak kepada kami.

Tambah beliau, “Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Malaysia Purple League (MPL) kerana telah memberi platform kepada pemain-pemain muda untuk beraksi secara kompetitif bagi memastikan mereka boleh mengutip seberapa banyak pengalaman.

Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pasukan yang telah menyertai kejohanan edisi kali ini.

“Tahniah kepada semua pemain, dan pegawai yang telah menyertai kejohanan musim ini. Mereka telah menetapkan satu aras yang baharu buat pertandingan-pertandingan kelolaan Malaysia Purple League,” katanya.

Dalam pada itu, Perling BC pula melakar kejayaan muncul juara kategori bawah-15 tahun. Ia susulan daripada kemenangan mereka ke atas Butterworth BC 10-7.


Kajang United BC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 manakala Perling BC yang mengungguli kategori bawah-15 tahun meraih RM5,000. Sementara naib juara kedua-dua kategori berpuas hati dengan wang tunai berjumlah RM5,000 dan RM2,500.


0 comments