top of page

Karnival BOSS Sepang 2025 Gegar Litar: Adrenalin, Hiburan & Gaya Hidup Automotif Bertaraf Dunia!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 22 Sep
  • 2 min membaca

SEPANG – Penggemar sukan permotoran di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah acara yang dinanti-nantikan, Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025, yang menjanjikan pengalaman litar yang lebih selamat dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.


Karnival BOSS Sepang 2025 Gegar Litar: Adrenalin, Hiburan & Gaya Hidup Automotif Bertaraf Dunia!
Litar Antarabangsa Sepang bakal bergegar dengan penganjuran Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025, acara yang dijangka menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dan keluarga dari seluruh negara.

Acara yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Battle of Speed Sepang (BOSS) dengan sokongan padu dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Rakan Muda, serta Rakan Litar ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).


Menurut Pengerusi BOSS, Najiy Ayyad, seorang pelumba berpengalaman selama lebih 16 tahun dalam dunia perlumbaan kereta, karnival ini direka untuk mendekatkan sukan permotoran kepada rakyat.


"Kami mahu menjadikan karnival ini medan tahunan yang dinanti-nantikan," kata Najiy, menegaskan bahawa acara ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi juga platform untuk menyatukan peminat, komuniti, dan penggiat industri automotif.


Karnival BOSS Sepang 2025 Gegar Litar: Adrenalin, Hiburan & Gaya Hidup Automotif Bertaraf Dunia!
Aktiviti 'Track Day' memberi peluang menguji jentera di trek Sepang dengan kawalan selamat serta sesi coaching untuk mereka yang berminat serius dalam perlumbaan.

Antara tarikan utama karnival ini adalah peluang unik untuk orang awam merasai sendiri pengalaman di litar Sepang melalui aktiviti 'Track Day', yang turut menawarkan sesi bimbingan atau "coaching" bagi mereka yang berhasrat serius dalam bidang perlumbaan.


Selain itu, perarakan kereta atau "Car Club Parade" akan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta klasik, sport, modifikasi, JDM, hingga 4x4. Para pengunjung juga akan terpegun dengan persembahan aksi "Drift Show" oleh pelumba profesional.


Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, "Kids Area" disediakan khas dengan pelbagai aktiviti menarik seperti panggung wayang mini, istana melantun (inflatable castle), lumba kereta slot, tunggangan lembu mekanikal, "batak," "catch stick," dan "ball dart". Lebih mendebarkan, pengunjung berpeluang menaiki kereta lumba bersama pemandu profesional di trek sebenar melalui "Taxi Ride".


GALERI


Karnival ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20 vendor dan 10 trak makanan yang menawarkan pelbagai sajian, serta penyertaan lima persatuan permotoran dan beberapa kelab komuniti kereta, termasuk peserta istimewa dari Singapura.


Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan dengan pemasangan "rail guard" di zon berisiko, kawalan kakitangan terlatih, dan dua buah ambulans di lokasi. Kemudahan tempat letak kereta percuma juga disediakan.



Selain itu, agensi kerajaan seperti KBS, JBSN, dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan membuka gerai khas untuk memberi pendedahan tentang peluang dalam bidang permotoran dan membimbing belia yang berminat untuk menceburi sukan ini.


Dengan sasaran kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap hari dan 300 peserta, Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 dijangka menjadi acara tahunan yang menjadi tumpuan ramai.



Komen


bottom of page