Santa Grand Signature Kuala Lumpur Tawar Bufet Krismas Gaya Peranakan
- MYB
- 1 Dis
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Bagi mereka yang mencari kelainan dalam sambutan perayaan tahun ini, Santa Grand Signature Kuala Lumpur membawakan satu pengalaman gastronomi unik yang menggabungkan kemeriahan Krismas dengan keaslian warisan budaya Peranakan.

Mengambil tempat di Kapitan Café di Tingkat 3 hotel tersebut, acara 'Santa’s Christmas Eve Buffet Dinner' yang dijadualkan berlangsung pada malam 24 Disember 2025 nanti menjanjikan kelainan berbanding bufet tipikal perayaan yang biasa ditemui di ibu kota.
Tarikan utama bufet ini terletak pada air tangan Chef Randy, yang bertanggungjawab mengkurasi menu istimewa tersebut. Beliau mengambil pendekatan berani dengan mengolah semula resipi tradisional dapur Nyonya dan memberikannya sentuhan moden tanpa menghilangkan keaslian rasa asalnya.
Para tetamu bakal disajikan dengan deretan hidangan yang kaya dengan rempah ratus dan aroma memikat, di mana setiap sajian disifatkan sebagai satu penceritaan yang menghubungkan nostalgia silam dengan citarasa kontemporari.
Para tetamu masih boleh menikmati hidangan wajib Krismas di 'Carvery Station' yang menampilkan Ayam Belanda Panggang (Roasted Whole Turkey) dengan isian buah berangan dan aprikot. Namun, bintang sebenar bufet ini terletak pada variasi hidangan utama yang menggabungkan elemen 'Oriental' dan 'Asian'.
Antara hidangan yang bakal mencuri tumpuan termasuklah Udang Telur Masin (Wok-Fried Salted Egg Prawn) dengan daun kari, Sotong Bunga Tumis, dan Ikan Bawal Emas Kukus. Bagi mereka yang merindukan cita rasa kampung yang 'pedas-pedas manja', menu seperti Daging Masak Gulai Sungai Tua, Mutton Rogan Josh, dan hidangan ikonik Nyonya Asam Laksa turut tersenarai.
Tidak lengkap tanpa pemanis mulut, seleksi pencuci mulut klasik turut disediakan bagi mengimbangi rasa dan melengkapkan pengalaman santapan malam tersebut yang turut meraikan pertembungan dua budaya. Di samping kek klasik seperti Christmas Log, Minced Pie, dan Dundee Fruit Cake, tetamu juga akan disajikan dengan pencuci mulut tradisional Nyonya Bubur Cha Cha, menjadikan penutup malam tersebut penuh dengan rasa nostalgia.
Selain daripada makanan, suasana di Kapitan Café turut memainkan peranan penting. Dengan dekorasi autentik yang melatari ruang makan, pihak hotel menekankan konsep hospitaliti yang mesra dan menghangatkan, bertujuan untuk membuatkan setiap tetamu berasa selesa seolah-olah menyambut perayaan di rumah sendiri bersama keluarga tercinta.
Bufet makan malam ini akan bermula dari jam 6:30 petang sehingga 11:30 malam. Memandangkan tempat duduk adalah terhad, orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan lebih awal. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2027 1969 atau melayari laman web rasmi mereka di www.santagrandhotels.com.

































