Kehadiran Elizad Sharifuddin Dan Iqram Dinzly Suntik Kelainan Dalam Drama ‘Hati Yang Dikhianati'
top of page
  • Writer's pictureMYB

Kehadiran Elizad Sharifuddin Dan Iqram Dinzly Suntik Kelainan Dalam Drama ‘Hati Yang Dikhianati'


Hati Yang Dikhianati

Bagi menyuntik kelainan segar sekaligus merancakkan lagi kisah penuh dramatik naskhah adaptasi ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia iaitu drama ‘Hati Yang Dikhianati’, dua pelakon handalan yang tidak asing lagi, Elizad Sharifuddin dan Iqram Dinzly dibawa masuk untuk menyandang dua watak baharu yang diperkenalkan pada pertengahan jalan cerita.


Elizad Sharifuddin melakonkan watak Tasya, seorang peguam yang sedang berperang dengan masalah depresi selepas kematian suaminya. Pada mulanya, niat Tasya hanya untuk membantu Elyas kerana iras wajah Elyas mengingatkan Tasya kepada arwah suaminya. Namun lama-kelamaan hatinya semakin tertaut dan mula jatuh cinta dengan Elyas sehingga menimbulkan konflik apabila Lisa yang telah lama hilang muncul semula.


Manakala Iqram Dinzly pula membawakan watak antagonis bernama Azran, seorang bekas banduan yang juga merupakan bekas teman lelaki Maria. Azran juga merupakan seorang psikopat yang suka menipu. Azran memasang hasrat untuk merampas legasi Solis sekaligus menjatuhkan keluarga Dato’ Ghafar.


Bade Hj. Azmi selaku Pengarah Drama ‘HYD’, berkata,“Setelah sesi perbincangan dengan pihak Astro, kami mencapai kata sepakat untuk memperkenalkan watak-watak baharu untuk memberi kelainan segar daripada segi jalan cerita yang sarat dengan konflik menarik.


Kehadiran watak Tasya dan Azran yang dijayakan oleh Elizad Sharifuddin dan Iqram Dinzly bakal membawa konflik baharu yang kita tidak ketahui sebelum ini. Iqram membawa watak antagonis yang menambah beban pada watak Maria lakonan Mona Allen. Secara peribadi, saya rasakan jalan cerita yang mempunyai konflik-konflik seperti ini digemari oleh penonton.


Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Wan, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor, Fendy Bakry serta ramai lagi.


Sebagai bonus, single terbaharu penyanyi Kaka Azraff berjudul ‘Janjiku’ turut diangkat menjadi lagu runut bunyi untuk drama ini.


SINOPSIS

Penceritaan drama ‘HYD’ mengisahkan tentang perhubungan Elyas dan Lisa yang terus diduga. Kali ini dengan kehadiran Samir yang kini nekad untuk memenangi hati Lisa. Kemunculan Tasya yang cuba mendekatkan diri dengan Elyas sedikit sebanyak mula mengubah perasaannya. Mampukah Elyas dan Lisa menyelamatkan sisa kisah cinta mereka.


Kebenaran tentang Elyas dan Maria bakal menguji keluarga Iskandar yang kini berantakan. Azran, seorang lelaki misteri yang muncul dan mula mengganggu hidup Maria sekaligus membuka kisah lama. Hubungan suami isteri antara Syaz dan Imran semakin dingin dengan kehadiran Adam.


Sehingga kini, drama ini sudahpun bersiaran lebih 100 episod menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) atau strim di aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

bottom of page