Kilauan Emas 2025: Astro Buka Ruang Lebih Luas Untuk Bakat Otai Bersinar
- MYB
- 5 Ogo
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Program realiti nyanyian popular untuk golongan otai, Kilauan Emas kini kembali dengan nafas baharu untuk musim 2025, menampilkan pembaharuan yang lebih segar, menyentuh emosi dan lebih inklusif berbanding musim-musim terdahulu.

Diumumkan oleh Astro, musim baharu ini menyaksikan penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun, membuka ruang lebih luas buat generasi berpengalaman untuk menyerlahkan bakat mereka di pentas glamor. Kilauan Emas 2025 bakal bersiaran bermula 16 Ogos, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam.
Sesi uji bakat yang diadakan di Miri, Johor dan Shah Alam sebelum ini telah menarik lebih 500 peserta pelbagai latar belakang, memperlihatkan kepelbagaian bakat bukan sahaja dalam nyanyian, malah turut menonjol dalam seni persembahan seperti lakonan dan tarian.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, musim ini membawa pendekatan baharu dari segi kriteria penyertaan dan pengisian emosi, menjadikan Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan, tetapi juga platform memperkasakan seni suara dan aspirasi golongan otai.
“Setiap peserta membawa kisah hidup yang menyentuh hati. Program ini menjadi medium menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik dan budaya yang dikongsi bersama,” katanya.
Seramai 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun telah terpilih, termasuk nama-nama seperti Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Setiap peserta membawa kisah dan kekuatan tersendiri, termasuk warisan seni keluarga yang menjadi inspirasi.

Elly Mazlein kekal sebagai hos utama, bersama Joey Daud di belakang pentas serta hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula diterajui Erra Fazira, digandingkan dengan Roy Azman dan penyanyi bersuara emas, Ning Baizura. Menariknya, musim ini turut melibatkan juri awam dari kalangan wartawan dan pelanggan setia Astro, menjadikan penjurian lebih dinamik dan pelbagai.
Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi eksklusif tajaan Astro. Para peminat boleh membuat undian secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak untuk menentukan pemenang mingguan dan juara keseluruhan.
Selain konsert mingguan, program sokongan seperti Diari Kilauan Emas, Spotlight dan Kapsul Profil Peserta turut disediakan bagi memberi sorotan menyeluruh terhadap perjalanan para peserta.
Dengan tema #OtaiLebihBerbisa, musim kali ini dijangka mencetus fenomena baharu dalam industri hiburan tempatan, dan sekali gus menjadi pentas impian buat mereka yang ingin meneruskan legasi seni suara walaupun bukan lagi di usia muda.