KITA FM Cipta Sejarah! Pecah Rekod Malaysia Dengan Jelajah Radio Terjauh
- MYB
- 19 Sep
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – KITA FM telah mengukir sejarah dalam industri penyiaran negara dengan menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records. Anugerah ini diberikan atas kejayaan mereka dalam kategori "Jelajah Siaran Radio Luar Jarak Terjauh" dan "Jelajah Siaran Radio Luar Jarak Terjauh oleh Pengeluar Automotif".

Jelajah selama 15 hari yang berlangsung di seluruh negara ini menggunakan bas Hop-On-Hop-Off, melibatkan penyampai dari 13 stesen radio di bawah Astro Audio. Mereka bergabung tenaga untuk mendekati pendengar secara santai dan mesra, bukan sahaja di atas bas tetapi juga di lokasi-lokasi terpilih di pelbagai negeri.
Kempen ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabaran interaktif, sesi bertemu peminat bersama kakitangan PERODUA, serta peluang untuk penyampai radio berinteraksi secara langsung dengan pendengar setia mereka. Semangat patriotik turut disemarakkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, inisiatif ini merupakan usaha bermakna untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui medium radio.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan berterima kasih kepada semua yang menjayakan kempen ini, terutamanya PERODUA sebagai rakan kolaborasi utama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja seperti KFC, PERODUA, BHPetrol dan Blackmores yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini.
“Sokongan mereka bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan kempen, malah membolehkan kami menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada pendengar di seluruh negara,” tambahnya.
Priya turut mengalu-alukan penyertaan penaja baharu untuk menyertai perancangan masa depan KITA FM. “KITA FM bukan sekadar stesen radio, ia adalah gerakan yang menyatukan suara rakyat Malaysia.”

Sebagai sebahagian daripada komitmen KITA FM untuk menyebarkan mesej positif kepada masyarakat, jelajah ini turut mengetengahkan inisiatif “Kami Benci Buli” yang merupakan satu gerakan untuk meningkatkan kesedaran dan menentang budaya buli dalam masyarakat. Sambutan hangat yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin peka dan bersatu menolak segala bentuk buli, termasuk buli siber.
Penyampai radio juga berkongsi keterujaan mereka dapat bertemu pendengar secara bersemuka, bergambar dan berkongsi pengalaman di lokasi-lokasi yang ditetapkan. Momen ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara penyampai dan pendengar, malah mencipta kenangan yang akan dikenang sepanjang hayat.
Dengan semangat yang terus membara, KITA FM dan Astro Audio komited untuk terus menyampaikan kandungan segar dan relevan yang menyatukan rakyat Malaysia melalui kuasa radio.









Komen