“KLEPET” Gegar Pawagam – Filem Aksi Komedi Pertama Indra Putra Sarat Tragedi & Gelak Tawa!
- MYB
- 23 Okt
- 2 min membaca
Filem aksi komedi tempatan yang paling dinanti-nantikan, "KLEPET", bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025. Naskhah terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. yang diterajui oleh pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal ini menjadi tumpuan utama kerana ia merupakan debut filem cereka pertama yang diarahkan oleh Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji.

Menurut Sanji, tarikan utama filem ini terletak pada jalan cerita yang mempunyai kelainan tersendiri, meskipun ia sebuah karya hiburan ringan. Beliau menyifatkan Klepet sebagai berbeza daripada filem aksi komedi yang pernah dipertontonkan kerana pendekatan yang digunakan menggabungkan pelbagai lapisan komedi. Menurutnya, penonton akan disajikan dengan elemen komikal dan animasi, sehinggalah kepada lawak rawak yang spontan yang disesuaikan mengikut babak.
Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Meerqeen, dan Nadhir Nasar sebagai teraju utama, serta penampilan mantap daripada Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie, dan pelakon antarabangsa Darina Porhun.

"KLEPET" mengisahkan tiga sahabat – Paly, Jany dan Wady yang merancang percutian santai menaiki kenderaan motorhome, segalanya berubah apabila seorang gadis misteri dari Ukraine, Lola (lakonan Darina Porhun), muncul secara tiba-tiba. Kehadiran Lola mencetuskan kekacauan, diikuti kemunculan 'hitman' (Aeril Zafrel) dan penemuan wang misteri, menjadikan pengembaraan mereka penuh dengan aksi dan kelucuan yang tidak dijangka.
Menurut Aeril Zafrel selaku penerbit, KLEPET bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyampaikan inspirasi kepada golongan muda.
“Kami mahu filem ini dekat dengan jiwa penonton, khususnya anak muda, dengan mesej tentang pengorbanan, sokongan dan nilai persahabatan,” jelasnya.
Penggambaran filem ini berlangsung sepenuhnya di Melaka selama 25 hari dengan kos produksi sebanyak RM2.6 juta. KLEPET turut menerima sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025, dan pra-tempahan tiket kini boleh didapati melalui laman web www.tgv.com.my atau aplikasi TGV.









Komen