Kejayaan penganjuran Konsert Amal Artis Legenda 4.0, pada Sabtu lalu walaupun pada awalnya mengalami kesukaran untuk mendapatkan tajaan dan semangat yang semakin pudar, memberikan kegembiraan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada penganjur, Nizam Laksamana Production yang diketuai oleh penyanyi Nizam Laksamana.
Menurut Nizam, konsert yang bertemakan #darikawanuntukkawan ini dijayakan atas niat murninya dan mendapat sokongan dari Persatuan Cancer Survivors Malaysia.
"Walaupun jumlah sumbangan mungkin tidak besar, pengorbanan dan sumbangan yang dilakukan oleh artis yang membuat persembahan pada malam itu menyentuh hati mereka," ujar Nizam.
Konsert Amal Artis Lagenda 4.0 berjaya mencapai sasarannya, menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000.00 kepada Persatuan Cancer Survivors Malaysia dan RM1,000 kepada seorang pesakit kanser otak berusia 10 tahun bernama Nur Umairah binti Abdul Rahman. Persatuan KARYAWAN juga turut menyumbang RM1,000 kepada Persatuan Cancer Survivors Malaysia melalui presidennya, Datuk Freddie Fernandez.
Antara penerima sumbangan lain terdiri daripada pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan OLAN, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC, bekas wartawan Yazid Sejati, Huzz Aini, Nas Ahmad, dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman. Paparan video sumbangan di awal acara itu mengharukan penonton, kerana wajah yang tidak asing lagi di kalangan artis ini sebelum ini membawa kegembiraan dan kemeriahan kepada industri hiburan.
Konsert yang diadakan di Hotel Grand Barakah di Ampang Selangor pada 1 Jun 2024, merupakan malam yang penuh dengan hiburan dan sumbangan ikhlas kepada masyarakat. Artis seperti Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, dan ramai lagi menghiburkan tetamu dengan persembahan mereka. Penonton menyanyi bersama-sama dengan setiap lagu, mewujudkan suasana yang meriah dan menarik.
Dalam satu segmen 'tribute' Nizam turut mempersembahkan nyanyian lagu-lagu hit medley penyanyi Gimie Screen, Tia Jinbara, dan Ibnor Riza yang telah meninggal dunia akibat kanser sebagai memperingati sumbangan mereka dalam menjayakan edisi konsert sebelum ini.
Sementara itu Nizam turut menghargai sokongan berterusan daripada pihak media atas liputan berita positif yang membantu mempromosikan konsert ini kepada umum sehingga meningkatkan jualan tiket dengan ketara, walaupun ia hanya sebuah acara amal.
Pada awalnya pihak penganjur hanya menyediakan 50 buah meja. Namun disebabkan jualan tiket yang begitu memberansangkan, pihak Grand Barakah Hotel telah menaja sejumlah 20 buah meja menjadikan jumlah keseluruhan 70 buah meja untuk jumlah keseluruhan 700 penonton.
"Sokongan pihak media yang sentiasa menyiarkan cerita membina dan positif tentang konsert ini betul-betul buat saya terharu. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik kalian," kata Nizam
Dalam keterujaan menganjurkan siri konsert ini, Nizam memberitahu bahawa edisi 4.0 akan menjadi yang terakhir. Tidak akan ada 5.0 atau siri seterusnya. "Saya harap showcase ini dapat membuka mata rakan-rakan dan penganjur lain yang mampu membuat perubahan.
"Jika ada artis muda yang lebih berkebolehan, meneruskan usaha murni membantu artis senior adalah lebih baik. Tiada yang lama, maka tiada yang baru. Roda kehidupan itu ironinya berputar. Kejayaan diukur dengan mengingati, bukan sekadar memerhati,” jelas Nizam.
Opmerkingen