top of page

Konsert Exists Tunda Ke 20 Disember, Janji Lebih 'Premium', Tawar Gitar Along & Set Dram

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 jam lalu
  • 2 min membaca

PETALING JAYA – Penganjur acara, JioBuddy, hari ini mengumumkan tarikh baharu bagi konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, yang kini dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2025. Walaupun acara ini mengalami penundaan daripada tarikh asalnya pada 4 Oktober, langkah ini diambil demi memastikan peminat merasai pengalaman 'premium' yang sebenar, disusuli dengan tawaran hadiah cabutan bertuah yang cukup istimewa.


Konsert Exists Tunda Ke 20 Disember, Janji Lebih 'Premium', Tawar Gitar Along & Set Dram
Exists yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad berjanji untuk memberikan persembahan bertaraf mewah dari segi muzik, audio dan pengalaman keseluruhan.

Menurut Sean Ng dari JioBuddy, keputusan penundaan ini dicapai menerusi kesepakatan bersama anggota kumpulan Exists. Jelasnya, masa tambahan ini membolehkan persiapan teknikal yang lebih rapi dilakukan agar persembahan tersebut bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah naskhah eksklusif yang menepati standard mewah seperti yang dijanjikan.


Pemain bass Exists, Musa, menjelaskan bahawa konsep 'premium' kali ini membawa maksud persembahan yang lebih intim dan dekat dengan peminat (up close and personal).


"Akan ada sesi sembang santai dan kupasan mendalam mengenai lagu-lagu hits kami yang dibahagikan kepada empat segmen. Peminat bakal mengetahui momen sentimental di sebalik rakaman dan penghasilan lagu-lagu tersebut," tambah Along, sambil menyatakan keyakinan terhadap sentuhan Jennifer Thompson selaku Pengarah Konsert.

Ajai turut menyifatkan momen sebegini belum pernah diabadikan dalam mana-mana konsert Exists sebelum ini, menjanjikan nilai sentimental yang tinggi buat penonton yang hadir.


Sebagai tanda penghargaan atas kesabaran peminat, Exists dan JioBuddy mengumumkan dua hadiah cabutan bertuah yang bernilai tinggi. Peminat bertuah berpeluang memenangi sebuah gitar akustik jenama Manuel Rodriguez milik peribadi Along.


Konsert Exists Tunda Ke 20 Disember, Janji Lebih 'Premium', Tawar Gitar Along & Set Dram
Penganjur JioBuddy memberi jaminan bahawa penundaan ini bukan sekadar perubahan tarikh, tetapi satu usaha untuk memastikan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ benar-benar membawa makna “premium” kepada peminat.

Gitar buatan Sepanyol ini mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana ia pernah digunakan oleh Along dalam rakaman lagu-lagu hits seperti Setanggi Syurga (Inteam) dan Salam Rindu (Fathi Naim).


Selain itu, pemain dram, Ujang, turut mengumumkan bahawa dengan kerjasama JS Music, satu set dram jenama PDP (CenterStage 5-Pc Drum Kit) lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks akan dihadiahkan kepada seorang lagi pemenang bertuah.


"Untuk jadi pemenang, anda harus 'follow' kami sampai ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti," seloroh Ujang.

Peluang memenangi hadiah ini bergantung kepada kategori tiket, di mana pembeli tiket Premium mempunyai 3 kali peluang cabutan, VIP (2 kali), dan Diamond (1 kali).



Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket anda masih sah digunakan untuk tarikh baharu ini. Tiket-tiket dijual pada harga RM588 (Premium), RM488 (VIP), dan RM368 (Diamond) menerusi laman web www.jiotix.asia.


Konsert Exists Tunda Ke 20 Disember, Janji Lebih 'Premium', Tawar Gitar Along & Set Dram
Gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along Exists, yang pernah digunakan dalam rakaman lagu-lagu ikonik antara hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh penganjur untuk penonton bertuah.

Penganjur turut menambah kuota bagi tiket kategori Diamond yang dilaporkan 'laku keras'. Selain itu, 100 peminat bertuah juga bakal mendapat peluang bergambar secara peribadi bersama anggota Exists.


Ezad Lazim, mewakili Exists, menegaskan bahawa mereka sentiasa mementingkan kualiti dan mahu setiap ringgit yang dibelanjakan peminat berbaloi dengan pesona mewah yang bakal dipersembahkan di JioSpace kelak.



bottom of page