'Konsert Gempak' Meriahkan SELBIZ 2025, Janjikan Persembahan Bertenaga Barisan Artis Popular
- MYB
- 29 Ogo
- 2 min membaca
SHAH ALAM – Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) kembali untuk edisi keempat pada 28 hingga 30 November 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan membawakan tema 'Festival of Innovation' (Festival Inovasi).

Penganjuran SELBIZ 2025 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kali ini dijangka lebih meriah dan menarik dengan pelbagai program strategik dan hiburan berkualiti tinggi.
Penganjuran ekspo kali ini dikendalikan secara rasmi oleh KRU Studios Sdn Bhd. Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Puan Yuzawati Yusof, SELBIZ 2025 bertujuan untuk kekal sebagai platform padanan perniagaan utama bagi menghubungkan syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan, dan agensi kerajaan dengan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS). Tujuan utamanya adalah untuk mengukuhkan pasaran domestik selain meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
Antara tarikan utama pada SELBIZ 2025 adalah 'Konsert Gempak' yang bakal menampilkan barisan artis popular Malaysia. Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan bertenaga daripada Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi.
Selain itu, persembahan khas daripada maskot-maskot animasi seperti Didi & Friends, Umar & Hana, serta maskot baharu Zan Orangutan dan Kikako Kids turut akan memeriahkan suasana.

Dato’ Norman Abdul Halim, Pengurus Acara SELBIZ 2025, menyatakan bahawa edisi kali ini menjanjikan pengalaman baharu melalui strategi penjenamaan dan kandungan program yang lebih inovatif.
Selain hiburan dan sukan, akan terdapat tawaran istimewa daripada para pempamer serta hadiah cabutan bertuah untuk para pengunjung, yang akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya
SELBIZ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor yang dipelopori oleh Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS. Ia berfungsi sebagai platform untuk memperkasa pasaran, meningkatkan daya saing, dan meluaskan rangkaian perniagaan para PMKS.
Pada tahun lalu, SELBIZ berjaya menarik lebih 36,000 pengunjung, dengan penyertaan 200 usahawan, dan mencatatkan jumlah jualan melebihi RM3.55 juta.
Untuk maklumat lanjut mengenai SELBIZ 2025, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.selbiz.my atau mengikuti laman media sosial rasmi SELBIZ di Instagram, Facebook, dan TikTok.









Komen