Konsert 'Here I Am': Debaran Kian Terasa, Rossa Janjikan Malam Penuh Magis di Axiata Arena!
- MYB
- 13 Jun
- 2 min membaca
Kuala Lumpur – Penantian peminat setia Datuk Seri Rossa di Malaysia bakal berakhir apabila konsert solo meganya, 'Here I Am', akan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada esok malam ,14 Jun 2025. Konsert ini dijangka mengulangi kejayaan luar biasa konsert Rossa di Indonesia Arena, Jakarta yang telah menarik lebih 12,000 peminat sebelum ini.

Bagi Rossa, Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kariernya selama hampir tiga dekad ini.
"Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di negara ini, kerjaya nyanyian saya mekar dan berkembang sehingga nama Rossa dikenali pencinta muzik serantau," ujar Rossa, yang turut menyifatkan konsert ini sebagai hadiah dan perayaan cintanya kepada peminat di Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan.

Konsert 'Here I Am' bukan sekadar persembahan solo Rossa, malah ia akan dimeriahkan dengan kehadiran bintang-bintang tamu istimewa yang pastinya bakal menyuntik kelainan pada malam itu. Antara yang bakal berkongsi pentas termasuklah penyanyi dan komposer berbakat besar, Hael Husaini, serta kumpulan The Ladies yang dianggotai bintang-bintang Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella, dan Syarla.
Rossa menzahirkan kekagumannya terhadap Hael Husaini, menyatakan bahawa bakat Hael memberikan 'jiwa' dalam setiap lagu yang disampaikan dan beliau tidak sabar untuk membawakan persembahan eksklusif bersama Hael khusus buat penonton di Malaysia. The Ladies pula melambangkan kekuatan wanita Nusantara, dan kehadiran mereka dalam konsert ini akan mempamerkan keindahan sokongan sesama wanita.
Tidak cukup dengan itu, barisan artis jemputan lain yang akan turut memeriahkan pentas adalah Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique, dan DJ serta produser muzik, Dipha Barus. Konsert ini juga akan menampilkan Top 4 One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen, sebagai penghargaan terhadap bakat baharu tempatan dan membuktikan muzik mampu menyatukan anak seni berbeza generasi.
Konsert 'Here I Am' dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment. Tiket-tiket konsert boleh didapati dengan harga bermula dari RM228 (kategori Festival) hingga RM788 (kategori Diamond Center), tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran, menerusi platform www.ticket2u.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang dijanjikan bakal menyentuh jiwa dan menyatukan pencinta seni melalui pilihan lagu-lagu ikonik Rossa seperti 'Tegar', 'Hati Yang Kau Sakiti', 'Terlalu Cinta', 'Pudar', dan 'Aku Bukan Untukmu'.
Untuk pertanyaan berkaitan tiket korporat, orang ramai boleh menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel rossa@yayasanprihatin.com.
Comments