top of page
Writer's pictureMYB

Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra Bakal Gegarkan Plenary Hall KLCC Jun Ini

Apabila bercerita mengenai muzik rock tanah air, nama Lefthanded pasti akan disebut. Pastinya mereka diletakkan antara ‘ranking’ paling atas dalam senarai kumpulan rock tanah air selain Search, Wings, May, Bloodshed dan banyak lagi.




Sejak dikenali selepas menyertai pertandingan Juara Rock pada 1983, kumpulan Lefthanded terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.


Lefthanded pernah memiliki enam album studio iaitu Keadilan pada 1986, Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme (1991) dan Syurga & Neraka (1999).


Sebelum itu, mereka pernah tampil dalam dua album kompilasi iaitu Battle Of The Bands I dan II pada 1985 dan 1986 bersama Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel, Ella & The Boys dan SYJ.


Selain Man Kidal dan Nash, Lefthanded pernah dianggotai Yan (bass), Allahyarham Samad (gitar), Allahyarham Man Dayak (dram) dan Isa (keyboard).


Selain itu, Datuk Ramli Sarip, Allahyarham Arab, Roy, Rahim Maarof dan Hamid pernah menjadi penyanyi Lefthanded.


Kini, bersama dua anggota yang cukup sinonim dengan Lefthanded iaitu Man Kidal dan Datuk Nash, mereka disertai oleh Hafiz Dayak (dram), yang juga anak bekas pemain dram Lefthanded, Allahyarham Man Dayak, Ritz (gitar), Rio Rasul (keyboard) dan Fly (bass).


Mereka bakal bersama kumpulan orkestra yang akan diumumkan nanti bakal menggegar dengan Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dijadualkan berlansung pada 3 Jun 2023, jam 8.30 malam.



Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra dianjurkan oleh Menara Network Sdn Bhd bersempena sambutan ulangtahun ke-40 tahun penubuhan Lefthanded.


Menurut pemilik Menara Network Sdn Bhd, Datuk Abdul Razif Asmuni, idea mengadakan konsert ini tercetus apabila beliau berjumpa dengan Man Kidal.


"Kebetulan Man Kidal juga memang merancang untuk mengadakan konsert Lefthanded sempena 40 tahun penubuhan mereka. Selepas beberapa sesi perbincangan dibuat, akhirnya impian ini menjadi kenyataan,” katanya.


Abdul Razif berkata, Lefthanded menjadi pilihan mereka kerana kumpulan rock itu merupakan antara ‘top 3’ kumpulan rock legenda di Malaysia.


 

“Ada banyak kumpulan rock di Malaysia, tetapi mereka adalah ‘top 3’ seiring dengan Search dan Wings. Mereka ada banyak lagu popular dan diingati kebanyakan peminat muzik tanah air.


“Konsert ini diadakan bersama orkestra kerana mahukan muzik yang lebih rileks. Mereka tetap rock, tetapi dengan orkestra, muziknya akan menjadi lebih lunak. Tidaklah terlalu bingit dan sedap didengar. Sesuailah dengan kebanyakan peminat Lefthanded yang kini sudah berusia 40 tahun ke atas. Mereka mahu lebih rileks dan berada dalam keadaan duduk jika menonton konsert,” katanya.

 

Abdul Razif berkata, konsert yang berdurasi di antara dua setengah jam ke tiga jam itu juga bakal menceritakan mengenai perjalanan muzik Lefthanded selama 40 tahun dari awal hinggalah yang terkini.


Menurut Abdul Razif yang juga penerbit konsert, Lefthanded akan membawa 15 ke 20 buah lagu sementara Rio Rasul bertindak sebagai penggubah muzik untuk konsert itu nanti.


Tiket-tiket berharga RM99, RM158, RM238, RM288, RM328, RM488 dan RM588 (Meet & Greet) boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.

Comments


bottom of page