Kuala Lumpur Antara Destinasi Pilihan Incubus Untuk Konsert Siri Jelajah Asia 2024
top of page
  • Writer's pictureMYB

Kuala Lumpur Antara Destinasi Pilihan Incubus Untuk Konsert Siri Jelajah Asia 2024

Band Incubus adalah nama yang tak asing lagi bagi peminat muzik genre rock. Dengan pencapaian dan kejayaan mereka yang amat membanggakan dalam industri muzik antarabangsa, kembalinya mereka ke Malaysia untuk konsert siri 'Jelajah Asia 2024' adalah berita yang dinanti-nantikan oleh para peminat. Selain Malaysia, Incubus telah mengesahkan persembahan mereka di Indonesia , Singapura, Filipina dan Jepun.


Incubus
Band Incubus terdiri dari José Pasillas, Ben Kenney, Brandon Boyd, Mike Einziger dan Chris Kilmore akan hadir ke Kuala Lumpur untuk Konsert Incubus - Live in Malaysia

Band yang ditubuhkan sejak tahun 1991 ini akan tampil di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 27 April 2024. Konsert Incubus - Live in Malaysia dibawakan oleh syarikat pengurusan acara terkemuka, Hitman Solutions.


Persahabatan yang terjalin diantara Brandon Boyd, Mike Einziger, José Pasillas, Ben Kenney dan Chris Kilmore telah memainkan peranan penting dalam membentuk legasi muzik mereka. Incubus terkenal dengan keupayaan mereka untuk menggabungkan pelbagai genre dengan lancar seperti metal, funk dan hip-hop. Bunyi unik dan persembahan mereka yang hebat telah menawan hati jutaan peminat di seluruh dunia.


Selama bertahun-tahun, Incubus telah mencapai pelbagai kejayaan yang luar biasa, menjual lebih daripada 23 juta album di seluruh dunia dan menerima pelbagai anugerah platinum dan multi-platinum. Peminat setia mereka, yang menjangkau lebih dua dekad, sangat mendambakan mereka kembali ke pentas konsert. Permintaan daripada peminat telah menjadi faktor utama dalam keputusan mereka untuk memulakan jelajah konsert pada tahun 2024.


Hitman Solutions menyasarkan untuk terus memukau penonton global dengan persembahan Incubus di Kuala Lumpur. Melayani peminat muzik rock tempatan dan antarabangsa, Hitman Solutions komited untuk menyediakan pengalaman hiburan artistik terbaik.


Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkongsi keterujaannya tentang konsert yang akan datang, dengan menyatakan, "Sebagai peminat rock sendiri, saya sangat teruja untuk mengumumkan usaha konsert ini dengan salah sebuah kumpulan rock antarabangsa yang paling berjaya sepanjang zaman iaitu Incubus, untuk persembahan mereka di Malaysia dalam jelajah Asia 2024.


"Permintaan untuk mereka kembali ke Malaysia begitu ketara, terutamanya ketika kami melihat keterujaan terhadap konsert ini di negara-negara jiran. Oleh itu, kami bertungkus lumus demi memuaskan hati peminat 'rock' tempatan dengan membawakan mereka untuk menyanyi bersama beberapa lagu klasik seperti 'Drive', 'Wish You Were Here', dan kegemaran peribadi saya, 'Pardon Me'," jelas Rohit.



Tiket untuk konsert Incubus 'Jelajah Asia 2024' akan mula dijual pada 7 Disember 2024, jam 12:00 tengah hari. Tiket konsert yang dijual, dikategorikan kepada tiga zon utama: CAT 1 - Tempat Duduk VIP (RM299), CAT 2 - Tempat Duduk Biasa (RM249), dan Rockzone - Berdiri Bebas (249). Untuk pembelian tiket, sila lawati laman sesawang www.hitmanlive.com.

bottom of page