Legasi Khan Terus Bersinar: Rahat Fateh Ali Khan & Anak Bakal Gegarkan Malaysia!
- MYB
- 37 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Peminat muzik qawwali dan Bollywood di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila maestro qawwali terkenal dunia, Ustad Rahat Fateh Ali Khan, hadir ke Malaysia untuk sebuah konsert bersejarah. Lebih istimewa, buat pertama kali dalam sejarah, beliau akan berkongsi pentas dengan anak lelakinya, Shahzaman Ali Khan.

Konsert yang dinanti-nantikan ini, dianjurkan oleh Hitman Solutions, sebuah syarikat penganjur hiburan terkemuka di Malaysia, bakal berlangsung pada 1 November 2025 di Idea Live Arena, 3 Damansara.
Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, keputusan untuk membawa Rahat Fateh Ali Khan ke Malaysia adalah susulan kejayaan konsertnya yang ‘sold out’ di Singapura pada April 2025 yang lalu, di mana lebih 5,000 peminat terpukau dengan persembahan bertenaga selama tiga jam.
“Kami melihat sambutan luar biasa di Singapura dan tahu bahawa peminat di Malaysia juga layak merasai kehebatan suara sebenar muzik Sufi.”

Konsert ini bukan sahaja meraikan kembalinya Rahat Fateh Ali Khan ke Malaysia selepas lebih separuh dekad, malah ia menandakan permulaan babak baharu dalam legasi dinasti muzik Khan. Rahat Fateh Ali Khan, yang mewarisi warisan daripada bapa saudaranya yang agung, Ustad Nusrat Fateh Ali Khan, telah membina nama sebagai salah seorang penyanyi Sufi dan Bollywood playback paling disegani dalam generasinya.
Peminat boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu hits beliau seperti "O Re Piya" dari filem Aaja Nachle, balada romantis "Teri Meri" dari filem Bodyguard, dan lagu yang melonjakkan namanya, "Mann Ki Lagan" dari filem Paap. Selain itu, beliau juga akan menyanyikan lagu "Afreen Afreen" dari Coke Studio dan "Dil To Bachcha Hai Ji" dari filem Ishqiya.
Tiket untuk konsert ini boleh didapati di www.hitmanlive.com bermula 4 September 2025, jam 12.00 tengah hari. Harga tiket bermula dari RM199 (Bronze) hingga RM799 (VVIP), dengan beberapa kategori lain seperti Silver (RM259), Gold (RM299), Platinum (RM359), Diamond (RM399), dan VIP (RM499).
Pemegang kad Mastercard berpeluang menikmati akses eksklusif kepada jualan awal (presale) dan tempat duduk pilihan melalui priceless.com. Jualan awal ini akan berlangsung selama 48 jam bermula 2 September 2025, jam 11.00 pagi. Tiga pembeli tiket terawal semasa tempoh jualan awal juga berpeluang untuk menyertai sesi "meet & greet" bersama artis. Konsert ini dianjurkan dengan kerjasama Varnam sebagai rakan media rasmi serta Raaga FM dan THR Gegar FM sebagai rakan radio rasmi.