• MYB

LOVETA Lancar Kempen Koleksi Terbaru Kerjasama Bersama Anzalna Nasir

Updated: Jan 9

Meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Siti Sarah Raissuddin melalui jenama tudung yang dibangunkan, pewaris yang ditinggalkan tidak lagi menoleh kebelakang apabila meneruskan kerjasama strategik bag membangunkan jenama Loveta merentas sempadan dunia.


Kali ini Loveta berbesar hati mengumumkan kerjasama bersama pelakon dan selebriti popular, Anzalna Nasir menerusi kempen Loveta X Anzalna yang bermula 5 Januari yang lalu.


Loveta X Anzalna
Koleksi Loveta X Anzalna menawarkan 11 pilihan warna hijab

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ratasya Empire (M) Sdn Bhd, Siti Fatimah Suberi, 34 tahun, beliau menganggap kerjasama bersama Anzalna merupakan sesuatu yang menarik memandangkan ini merupakan kali pertama pelakon berkenaan berkolaborasi dengan jenama tudung.


“Saya gembira kerana niat untuk bekerjasama dengan Anzalna berjalan dengan baik sekali.Apabila kita menyatakan hasrat untuk 'menyunting' beliau, hasrat tersebut disambut dengan baik dan bermulalah kerjasama antara kami." Siti Fatimah Suberi, CEO Ratasya Empire (M) Sdn Bhd

"Apa-apa pun saya berterima kasih kepada hubungan baik yang terjalin antara Anzalna dan arwah Sarah sejak dahulu. Ini juga yang menjadi sebab utama kenapa beliau (Anzalna) sudi memilih jenama Loveta dalam kempen kali ini, " jelas Siti Fatimah lanjut.


Menerusi kempen Loveta X Anzalna, mereka memperkenalkan Anzalna Shawl yang juga merupakan shawl semi instant yang hadir dengan 11 koleksi warna yang menarik pandangan mata.



Menariknya, mereka menghasilkan produk kali ini dengan mengikut citarasa pelakon berkenaan yang mahukan satu tudung yang mudah dipakai namun mempunyai kelas dan standard tersendiri.


Ditambah pula dengan penghijrahan Anzalna sendiri yang kini sudah tampil berhijab, pastinya koleksi yang diperkenalkan diharap dapat memenuhi citarasa kebanyakan wanita bertudung.


"Pada dasarnya Allahyarham Sarah pernah menyatakan hasrat untuk bekerjasama menerusi satu produk namun perkara tersebut tidak kesampaian. Tapi saya secara peribadi bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat arwah sekarang.


"Walaupun ada beberapa jenama lain yang turut sama menyatakan minat untuk bekerjasama dengannya, beliau akhirnya memilih jenama Loveta. Ini yang membuatkan saya terharu," kata Siti Fatimah lagi.



Sejak memulakan perniagaan awal 2020, Loveta sudah mengeluarkan tujuh koleksi tudung termasuklah Solehah yang mendapat sambutan ramai sewaktu mula dilancarkan.


Anzalna Shawl pula adalah koleksi kelapan yang dikeluarkan oleh mereka yang boleh dibeli melalui ejen dan stokis di seluruh negara dengan harga RM59 sahaja.


Selain daripada memperkenalkan kempen Loveta X Anzalna, Siti Fatima yang juga merupakan ibu tiri kepada Allahyarham Sarah mengumumkan Dzakira Talita Zahra, 9 tahun sebagai pewaris jenama Loveta.



Talita yang juga merupakan anak perempuan tunggal kepada Shuib dan arwah Sarah akan menyambung legasi perniagaan memandangkan dia sendiri sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang fesyen dan perniagaan.


Mereka juga sudah merancangan untuk memperkenalkan tudung untuk kanak-kanak sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


"Apa-apa pun kami akan memberikan tumpuan kepada kempen Loveta X Anzalna yang baru sahaja bermula. Kita berharap kerjasama ini akan berterusan dan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.


"Selain itu kita juga berharap penghijrahan Anzalna juga akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," tambahnya lagi.

0 comments