Malam Gemilang AIM24 Kembali, Tampil Barisan Bintang Ternama!
- MYB
- 1 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) bakal kembali menggegarkan Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025. Dengan persembahan memukau daripada barisan artis terkemuka dan pengenalan kategori-kategori baharu, majlis berprestij ini menjanjikan malam penuh debaran dan kegemilangan buat para penggiat seni dan peminat muzik tanah air.

Diacarakan oleh gandingan serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar, malam kemuncak AIM24 bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada nama-nama besar seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Shila Amzah, Black Hanifah, Ara Johari, dan kumpulan popular Dolla. Turut memeriahkan pentas adalah artis-artis lain seperti Ade Govinda, Anggi Marito, Exists, KmyKmo, Masdo, Salammusik, Luka Sikta, dan ramai lagi.
Selain persembahan bertenaga, acara ini juga akan diserikan dengan kehadiran barisan penyampai anugerah yang tidak kurang hebatnya. Antaranya termasuklah Khai Bahar, Daiyan Trisha, Dato’ Awie, Nikki Palikat, Joe Barbarik, dan Siti Nordiana.
Menurut Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24:
“Pemilihan artis, pengacara dan penyampai anugerah dibuat berdasarkan kredibiliti mereka serta kesesuaian dengan tema AIM24 — The Pinnacle of It All.”

AIM24 yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Samsung Galaxy A56 serta A36 5G. Acara ini juga menawarkan insentif menarik dengan peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM700,000 kepada pemenang bagi 11 kategori utama. Ganjaran ini bertujuan menyokong dan menggalakkan penghasilan karya muzik yang lebih berkualiti tinggi.
Edisi kali ini turut memperkenalkan empat kategori baharu bagi mengiktiraf kepelbagaian muzik tempatan, iaitu Kugiran Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Malam karpet merah akan bermula pada pukul 8 malam, manakala acara kemuncak AIM24 akan disiarkan secara langsung di TV2 dan RTM Klik bermula pukul 9 malam pada 13 September 2025.