Menara Kuala Lumpur Sajikan Pemandangan 360° Sambutan Ambang Merdeka 2025
- MYB
- 13 Ogo
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR - Ibu negara bakal menyaksikan sambutan Malam Merdeka yang luar biasa pada 30 Ogos 2025 apabila Menara Kuala Lumpur menganjurkan pertunjukan bunga api 360° dari tiga titik pelancaran serentak sekaligus menjadikan ia satu pencapaian baharu yang menjanjikan pengalaman visual yang mengasyikkan dan menyeluruh buat pengunjung.

Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Menara Kuala Lumpur untuk memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menampilkan semangat perpaduan dan kemeriahan bandar raya kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Bermula jam 9 malam hingga 12.30 pagi, tetamu akan disajikan dengan persembahan muzik secara langsung oleh The Sky Band, diikuti detik penuh semangat ketika countdown Merdeka, sebelum langit Kuala Lumpur diterangi dengan pertunjukan bunga api dari tiga arah tepat jam 12 tengah malam.
Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang hanya menampilkan dua titik pelancaran, pertunjukan kali ini memberikan pengalaman 360° yang lebih imersif dan memukau.

Hanya 1,200 tetamu bertuah akan berpeluang menyaksikan acara ini dari tiga lokasi eksklusif iaitu Observation Deck (400 tempat), Sky Terrace (300 tempat), dan Tower Terrace (500 tempat). Tiket kini boleh didapati di laman rasmi www.kltower.com dan tempat adalah terhad.
Acara ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian program patriotik sepanjang Ogos dan awal September sempena Bulan Kebangsaan, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025.
Antara program yang dianjurkan termasuk Light Up Malaysia – Colours of Unity, pertandingan lagu patriotik Gema Merdeka, Padu Tarik & Tebar Canai Showdown, serta Sayembara Puisi Kemerdekaan.
Kesemua program ini bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, meraikan kepelbagaian budaya negara dan memperkukuh kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan berpengalaman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman, sambutan kali ini bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga menonjolkan semangat perpaduan dan keindahan budaya Malaysia kepada dunia.
Beliau menyatakan bahawa Menara Kuala Lumpur sentiasa menjadi simbol perpaduan dan perayaan, dan pertunjukan bunga api tiga titik ini adalah yang pertama dalam sejarah sambutan di menara tersebut.
Merdeka Eve 2025 di Menara Kuala Lumpur dijangka menjadi malam yang penuh sejarah, di mana semangat patriotik bertemu dengan keindahan langit malam ibu kota mengabadikan satu pengalaman yang pasti dikenang oleh semua yang hadir.









Komen