top of page

Misha Omar Kembali Dengan “I Don’t Like You Anymore”, Lambang Kematangan 24 Tahun Dalam Industri

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 jam lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Selepas kejayaan single Break yang mencetuskan fenomena tahun lalu, penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul I Don’t Like You Anymore atau ringkasnya IDLYA. Karya ini dilihat sebagai manifestasi kematangan seni Misha selepas lebih dua dekad mewarnai dunia muzik.



Single baharu ini bukan sekadar kesinambungan kepada kejayaan terdahulu, malah memperlihatkan evolusi muzik dan emosi yang lebih mendalam dalam perjalanan seni penyanyi kelahiran Kelantan itu. Kejayaan Break yang menerima pengiktirafan Platinum serta menembusi kelompok pendengar muda menjadi pemangkin kepada Misha untuk terus menghasilkan karya berkualiti tanpa terikat dengan formula tertentu.


Menurut Misha, perjalanan seninya sentiasa berkembang secara semula jadi, tanpa perancangan strategi yang terlalu khusus. Baginya, penerimaan luar biasa terhadap karya terdahulu membuka ruang untuk beliau meneroka sisi kreatif yang lebih luas, sekali gus memberi nafas baharu dalam penghasilan IDLYA.



Menariknya, IDLYA menyatukan semula Misha dengan barisan tenaga kreatif serantau yang pernah mencipta kejayaan bersama, termasuk komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw serta penerbit muzik tersohor, Tohpati. Gabungan ini bukan sahaja mengukuhkan keserasian artistik antara mereka, malah memperlihatkan kerjasama erat antara pengkarya Malaysia dan Indonesia dalam menghasilkan karya muzik Nusantara yang berkualiti tinggi.


Misha Omar menerima Platinum kerana mencapai hasil penjualan keseluruhan penstriman digital.
Misha Omar menerima Platinum kerana mencapai hasil penjualan keseluruhan penstriman digital.

Proses rakaman yang berlangsung di Jakarta turut memberi pengalaman berbeza buat Misha apabila beliau diberi ruang ekspresi yang lebih terbuka dari segi vokal dan interpretasi lagu. Bimbingan pengarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat, turut membantu memperhalusi penyampaian emosi agar selari dengan kekuatan vokal yang menjadi identiti Misha selama ini.


Dalam masa yang sama, pelancaran IDLYA juga menjadi sebahagian daripada perancangan Misha untuk melengkapkan album penuh yang dijangka diterbitkan tahun ini. Lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema drama bersiri Kerana Cinta Itu Dusta yang bakal menghiasi slot Samarinda di TV3 sepanjang Ramadan.


Single I Don’t Like You Anymore (IDLYA) kini boleh distrim di semua platform digital utama bermula 6 Februari 2026, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Misha Omar. Dengan sentuhan emosi yang kuat dan produksi berkualiti tinggi, karya terbaharu ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan Misha Omar sebagai antara vokalis terbaik Malaysia.



Komen


bottom of page