MotorManiac 2025: Festival Permotoran & Gaya Hidup Terbesar Di KL Sasar Lebih 30,000 Pengunjung
- MYB
- 3 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat permotoran dan gaya hidup apabila acara tahunan ke-4 MotorManiac kembali dengan edisi paling besar dan berani setakat ini. Dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 6 September 2025, acara ini akan mengambil tempat di Rooftop MyTown, berlatarbelakangkan panorama ikonik langit Kuala Lumpur.

Dengan sasaran lebih 30,000 pengunjung dalam satu hari, MotorManiac 2025 menjanjikan pengalaman luar biasa dari jam 10 pagi hingga tengah malam. Lebih 600 kereta modifikasi dari pelbagai kategori termasuk JDM, Continental, Supercar dan tempatan yang akan dipamerkan, menjadikan lokasi ini syurga buat peminat fotografi dan Instagram.
Program sehari penuh ini akan menampilkan pertandingan permotoran seperti King of Maniac Challenge, ASTRA Cup: 2 Step Competition dan Car Limbo Contest. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati Mini Diecast Expo yang sesuai untuk pengumpul dan keluarga, serta konsert hip-hop rooftop yang menampilkan ALYPH, EEMRUN, Dann N Qrack dan 53 Universe.
Menariknya, ASTRA Cup diperkenalkan sebagai trofi berprestij yang akan mengabadikan nama juara setiap tahun, menambah elemen tradisi dalam legasi MotorManiac. Tahun ini juga MotorManiac turut memperkenalkan pertandingan Cabutan Bertuah, di mana setiap pembelian barangan rasmi MotorManiac atau baucar Bateriku akan melayakkan pengunjung menerima tiket cabutan. Tiga pemenang bertuah akan membawa pulang sebuah motosikal elektrik EV Bike daripada GGR Motors.

Pengasas MotorManiac, Mikhail Faizi atau lebih dikenali sebagai Mike, menyatakan bahawa acara ini bukan sekadar perjumpaan kereta, tetapi satu gerakan budaya.
“MotorManiac adalah tentang gaya hidup, budaya dan komuniti. Dengan latar langit KL, kami cipta festival sehari yang hidup dari pagi hingga malam,” katanya.
MotorManiac tahun ini turut menampilkan pengacara Killa Driz, rapper tempatan yang memperkenalkan artis jemputan khas, ChronicalZ dari Desa Pandan. Edisi kali ini juga menandakan peluasan MotorManiac ke pentas antarabangsa dengan penglibatan rakan media global seperti CarCvlT dari United Kingdom, Clay Wong dari Australia dan Tatsu Miyagawa dari Jepun, yang masing-masing terkenal dalam dunia automotif dan budaya JDM.
Kredit: FB/Pandulaju.com.my
Acara ini dianjurkan oleh Bateriku, penyedia Bantuan Tepi Jalan Tersambung nombor satu di Malaysia, dan disokong oleh pelbagai rakan strategik seperti Astra, UVR, Retro Havoc, Petronas Lubricant, Mr Absorber, Kopi Saigon, Driveo, serta jenama streetwear terkenal seperti Headers, Super Sunday dan Abstrax.
Tiket masuk umum berharga RM20, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun dan golongan orang kurang upaya (OKU) diberi masuk percuma. MotorManiac 2025 bukan sekadar acara permotoran, tetapi satu perayaan budaya yang menyatukan komuniti dalam suasana penuh semangat dan kreativiti.