Nabila Razali Bakal Gegarkan Kajang, Diumumkan Sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°!
- MYB
- 21 Ogo
- 2 min membaca
CHERAS - Kajang bakal menjadi tumpuan apabila penyanyi popular tanah air, Nabila Razali, diumumkan sebagai jurucakap rasmi untuk acara keluarga terbesar tahun ini, BMC Family 360°. Acara yang bertemakan “A Step to the Future” ini akan berlangsung selama tiga hari, dari 19 hingga 21 September 2025, bertempat di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras. Ia dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari sekitar Kajang, Cheras dan kawasan Lembah Klang.

Dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi, BMC Family 360° merupakan sebuah pesta dan karnival keluarga berskala besar yang berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).
Acara ini bertujuan memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti mampan dan mempromosikan gaya hidup pintar melalui pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan dan hiburan untuk semua peringkat umur.
Pelantikan Nabila Razali sebagai jurucakap acara dilihat sebagai langkah strategik memandangkan beliau merupakan figura yang dekat dengan generasi muda dan keluarga. Nabila akan terlibat secara langsung dalam beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat (meet & greet), persembahan khas serta kempen promosi menjelang acara utama.

Dalam kenyataannya, Nabila menyatakan rasa teruja kerana dapat menyumbang kepada acara yang meraikan peranan keluarga dalam membentuk masa depan yang lebih baik.
“Sebagai seorang ibu, isteri dan wanita kerjaya, saya percaya UN SDG menyediakan pelan tindakan yang jelas untuk membina keluarga yang mampan, aman dan makmur. Saya juga sedar bahawa kemampanan bukan hanya berkaitan alam sekitar, tetapi turut merangkumi aspek sosial dan ekonomi,” ujar Nabila.
Antara pengisian utama sepanjang acara termasuk pameran dan showcase oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO yang selaras dengan 17 UN SDG, pertandingan dan aktiviti Esports, pertunjukan kebudayaan, mini zoo untuk hiburan seisi keluarga serta pameran inovasi dalam bidang pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari.
Menurut Prof. Dr. Ng Kheng Lun, CEO AI Global, BMC Family 360° bukan sekadar pesta dan karnival, tetapi merupakan platform komuniti untuk keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih sejahtera dan berdaya tahan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja yang menjayakan acara ini.









Komen