Northern Festival of Speed Gegar Utara, Sasarkan 70,000 Pengunjung, Tawar Tiga Kereta Mewah Sebagai Cabutan Bertuah
- MYB
- 4 Okt
- 2 min membaca
BUTTERWORTH – Buat pertama kalinya, peminat dunia permotoran di utara tanah air disajikan dengan karnival automotif terbesar, Northern Festival of Speed (NFOS), yang berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Oktober di PICCA Butterworth.

Acara ini dianjurkan oleh Northern Speedo dan Choii Motorsports dengan kerjasama penuh PMH (Perniagaan Mazlan & Hashimah) sebagai penaja utama, serta sokongan pelbagai penaja lain. NFOS bukan sekadar pameran automotif, tetapi turut menampilkan elemen gaya hidup, hiburan dan aktiviti mesra keluarga.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, penajaan ini adalah tanda sokongan terhadap industri automotif tempatan dan usaha merakyatkan minat terhadap kereta dan motosikal kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami mahu semua generasi menikmati pengalaman melihat koleksi kereta ‘rare’ dari pelbagai negara. PMH juga membuka booth jualan kereta import recond dan memperkenalkan motosikal elektrik (EV) LION G1 GGR EV buatan tempatan,” katanya.
PMH dan GGR turut menyokong penuh aspirasi kerajaan ke arah mobiliti hijau dan teknologi EV, dengan harapan dapat memberi pendedahan serta galakan kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada kenderaan mesra alam.
Festival ini turut mendapat sokongan daripada pempengaruh automotif terkenal seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Retro Havoc dan ramai lagi, serta menarik minat pengunjung dari Thailand dan Singapura.
Antara tarikan utama di Northern Festival of Speed termasuk pelbagai aktiviti dan pertunjukan menarik yang pasti memukau para pengunjung. Festival ini menampilkan pertunjukan kereta ‘rare’, mempamerkan kenderaan unik dan eksotik yang jarang dilihat di jalan raya.
Bagi peminat aksi lasak, terdapat aktiviti taxi drift dan demonstrasi drift yang menjanjikan pengalaman penuh adrenalin serta kemahiran pemanduan yang mengagumkan. Selain itu, pertandingan seperti “Limbo Stance” dan “2 Step” turut diadakan untuk menyerlahkan kreativiti dan kehebatan modifikasi kenderaan.

Festival ini juga menyediakan reruai jualan dan pameran, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan dunia permotoran dan gaya hidup. Menambahkan lagi kemeriahan, pengunjung akan dihiburkan dengan konsert artis popular seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe, dan K.O.I, menjadikan festival ini satu acara yang tidak boleh dilepaskan.
Kemuncak acara adalah pada hari Ahad dengan pengumuman pemenang cabutan bertuah yang menawarkan hadiah luar biasa – termasuk sebuah Mercedes A-Class W177 (Unregister) bernilai RM200,000, Nissan 350Z, dan Honda Civic FD.

Dengan bayaran tiket masuk hanya RM15, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik dan berpeluang membawa pulang hadiah bernilai tinggi.
Penganjur Faris Azri (Choii Motorsports) dan Muhammad Hadzimi (Northern Speedo) menyasarkan lebih 70,000 pengunjung akan membanjiri festival ini sepanjang tiga hari berlangsung.















Komen