top of page
Writer's pictureMYB

OKU Fest 2.0: Meraikan Keistimewaan Bakat Seni Tanpa Sempadan

Festival Seni Insan Istimewa atau "OKU Fest 2.0" akan membuka tirainya pada 30 November hingga 1 Disember 2024 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, membawa tema bermakna "My Ability is Stronger Than My Disability".


OKU Fest 2.0: Meraikan Keistimewaan Bakat Seni Tanpa Sempadan

Festival yang akan dirasmikan oleh YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob, wakil komuniti OKU di Dewan Negara ini, merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran pertamanya pada Oktober 2022. Program dua hari ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 8 malam dengan pelbagai aktiviti menarik yang mengetengahkan bakat istimewa komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU).


Antara acara yang akan menghiasi festival ini termasuk Pertandingan Akhir Bakat Seni Suara SBM dan Pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan istimewa "OKU Jam" yang menampilkan bakat-bakat luar biasa seperti Rizwan dan Lan Taroo, serta persembahan khas oleh Amal AF/Ex-OAG dan kumpulan muzik ska, Reloveution.


Satu sesi forum bertajuk "Autism Adalah Superpower!" akan turut diadakan dengan kehadiran YB Altimet, ADUN Lembah Jaya yang juga seorang individu dyslexia, sebagai salah seorang panelis. Hari kedua festival akan dimeriahkan dengan program OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, yang memberi peluang eksklusif kepada warga OKU untuk mendapatkan permit seniman jalanan.


Festival yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini turut disertai oleh selebriti tanah air seperti Radhi Khalid, Rozita Rohaizad, dan Mel.


Pelbagai pameran dan jualan seni turut diadakan, merangkumi hasil karya komuniti OKU dalam bidang muzik, kraf, catan, dan pelbagai bentuk seni lain. Festival ini terbuka kepada orang ramai secara percuma, memberi peluang kepada masyarakat untuk menyaksikan sendiri kehebatan bakat istimewa ini.


Bagi golongan OKU yang berminat untuk menyertai program ini, mereka boleh menghubungi urusetia di talian 014-7176276 (Amad) untuk maklumat lanjut.


Penganjuran OKU Fest 2.0 ini bukan sekadar meraikan bakat istimewa, tetapi juga membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kecemerlangan dalam bidang seni.



0 komen

Comments


bottom of page