top of page

'Singa' Singapura Mengaum! Iskandar Ismail Rangkul Juara GV12, Bawa Pulang RM100 Ribu!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 hari lalu
  • 2 min membaca

SHAH ALAM - Pentas akhir Gegar Vaganza Musim 12 (GV12) yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam tadi menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail, dinobatkan sebagai juara.


'Singa' Singapura Mengaum! Iskandar Ismail Rangkul Juara GV12, Bawa Pulang RM100 Ribu!
Iskandar Ismail, diumumkan sebagai Juara Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12) dalam konsert akhir yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Auditorium MBSA, Shah Alam malam tadi.

Iskandar, 47, atau lebih mesra disapa Eiss, menepati ramalan ramai apabila berjaya menewaskan lima finalis lain menerusi persembahan bertenaga yang memukau hati barisan juri tetap dan penonton. Kemenangan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 serta sebuah trofi sumbangan Astro.


Malam kemuncak tersebut menyaksikan Iskandar mempertaruhkan vokal ampuhnya menerusi lagu solo "Madah Berhelah" nyanyian asal Ziana Zain, yang digubah dengan susunan muzik segar dan dramatik. Persembahan tersebut mendapat pujian melambung daripada ketua juri, Datuk Ramli MS, yang menyifatkan nyanyian Iskandar sebagai bertaraf konsert antarabangsa.


"Konsep sangat bagus. Persembahan ganas, menyanyi pun ganas. Awak beri semuanya dalam persembahan sampaikan saya bagi air sebab takut awak pengsan," komen Tok Ram yang kagum dengan tenaga luar biasa Iskandar.

'Singa' Singapura Mengaum! Iskandar Ismail Rangkul Juara GV12, Bawa Pulang RM100 Ribu!
Kawalan vokal yang kemas, penghayatan emosi yang mendalam, serta kebijaksanaannya menyuntik elemen segar dalam susunan muzik nyata memikat hati juri profesional.

Bagi pusingan battle duet pula, gandingan Iskandar bersama penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor menerusi lagu "Senja Nan Merah" ternyata menjadi 'killer performance' yang menggegarkan dewan, sekaligus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas.


Dalam ucapan kemenangannya, Iskandar yang sebak mendedikasikan kejayaan tersebut kepada arwah bapanya, penyanyi legenda R. Ismail, serta isteri dan peminat yang tidak putus-putus menyokong. Beliau juga menjadi wakil Singapura ketiga yang menjuarai program realiti ini selepas kejayaan Hady Mirza (GV6) dan Aliff Aziz (GV8).


'Singa' Singapura Mengaum! Iskandar Ismail Rangkul Juara GV12, Bawa Pulang RM100 Ribu!
Barisan 6 finalis akhir Gegar Vaganza Musim ke-12

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik kumpulan trio dari Indonesia, Mendua, yang membawa pulang wang tunai RM50,000. Penyanyi Nubhan pula berpuas hati di tempat ketiga dengan hadiah RM30,000. Mark Adam, Mell Sakura, dan Ruri Repvblik masing-masing menduduki tempat keempat, kelima, dan keenam.


Konsert akhir yang dikendalikan oleh hos Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah.



Komen


bottom of page