Tragedi David Ozora Difilemkan! Bongkar Salah Guna Kuasa 'Anak VIP' & Perjuangan Bapa Tuntut Bela
- MYB
- 2 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Masih ingatkah anda dengan kes tular seorang remaja lelaki yang koma dibelasah anak pegawai kanan kerajaan di Indonesia pada tahun 2023? Tragedi hitam yang pernah menggemparkan Nusantara itu kini diangkat ke layar perak menerusi filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel.

Majlis tayangan khas untuk pengamal media bersama pengarah serta para pelakon filem ini telah diadakan baru-baru ini di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. Lebih istimewa pihak produksi turut membawa bersama mangsa sebenar kejadian buli tersebut, David Ozora bersama bapanya Jonathan Latumahina yang menjadi inspirasi kepada penghasilan filem ini.
Filem yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026 ini bukan sekadar naskhah hiburan, sebaliknya satu dokumen visual yang mendedahkan realiti pahit tentang penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan sistem perundangan, dan kebangkitan suara rakyat menentang kezaliman.

Diarahkan oleh adik-beradik prolifik, Anggy Umbara dan Bounty Umbara, Ozora menyingkap penderitaan Jonathan Latumahina (lakonan Chicco Jerikho) yang berjuang menuntut bela nasib anaknya, David Ozora (Muzakki Ramdhan). David koma berpuluh hari dengan peluang hidup hanya dua peratus selepas menjadi mangsa keganasan Dennis (Erdin Werdrayana), anak kepada seorang pegawai tinggi yang berpengaruh.
Menurut Anggy Umbara, filem ini meneroka sisi yang jarang diketahui umum iaitu tentang perjalanan spiritual dan emosi seorang bapa yang menyaksikan anaknya 'hancur' di tangan mereka yang kebal undang-undang.
"Kisah David ini benar-benar menggoncang Indonesia. Namun begitu, ramai tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa... sehingga peluang hidup anaknya hanya dua peratus," kata Anggy.

Pelakon tersohor, Chicco Jerikho mengakui watak Jonathan adalah antara yang paling mencabar dalam kariernya. Beliau perlu mengimbangi emosi yang sarat tanpa melangkaui realiti kejadian sebenar, memandangkan filem ini berpaksikan fakta dan penderitaan individu yang masih hidup.
Selain Chicco dan Muzakki, filem terbitan Umbara Brothers Film dengan kerjasama Dbay Film Factory serta beberapa produksi lain ini turut dibintangi oleh Tika Bravani, Donny Damara, dan Mathias Muchus.
Filem Ozora bukan sahaja memaparkan jenayah fizikal, tetapi juga kuasa solidariti masyarakat awam dalam menggunakan media sosial untuk menumbangkan ego penguasa yang sombong. Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah benar keberanian menentang ketidakadilan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Januari 2026.









Komen