Penganjur Sahkan Konsert Milenia Bakal Berlansung Januari 2024 Di ZEPP KL
top of page
  • Writer's pictureMYB

Penganjur Sahkan Konsert Milenia Bakal Berlansung Januari 2024 Di ZEPP KL

Bersedia untuk tenggelam dalam keasyikkan alunan Dangdut kerana Konsert Milenia yang berdepan dengan beberapa kali isu penangguhan sebelum ini oleh pihak penganjur, kini disahkan akan berlansung!


Konsert Milenia
Barisan artis hebat dua negara bakal menjayakan Konsert Milenia 2024 yang bakal berlansung di ZEPP KL pada Januari 2024

Konsert yang dinanti-nantikan ini, menampilkan Ratu Dangdut Malaysia ikonik Amelina dan penyanyi lagu sensasi Mas Idayu, kini akan diadakan di ZEPP Kuala Lumpur pada 27 Januari 2024. Menyertai mereka, penyanyi Ani Mayuni dan Baby Shima yang penuh bertenaga, mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua penonton.


Seperti yang diketahui umum, Konsert Milenia merupakan usaha bersama antara Malaysia dan Indonesia untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara menerusi muzik genre Dangdut. Beberapa artis popular Indonesia seperti Hesty Klepek-Klepek, dan Rheyna Morena turut telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama ini.


Selain itu, Thomas Arya, seorang penyanyi yang terkenal sebagai "King Of Slow Rock" kerana suaranya yang selembut dan lagu hits seperti "Bunga" dan "Berbeza Kasta," turut mengesahkan penyertaannya dalam konsert ini. Dengan adanya beliau dalam konsert itu menjanjikan menambah rasa unik pada acara tersebut.



Walaubagaimanapun pihak penganjur dengan dukicita memaklumkan bahawa Siti Badriah dan Fitri Carlina tidak akan dapat menyertai Konsert Milenia kerana jadual kerja yang bercanggah di Jakarta.


"Kami memberi jaminan bahawa konsert itu akan tetap menjadi acara yang menakjubkan. Sebagai tambahan kepada barisan penyanyi yang hebat, kami akan menghadirkan DJ Dugem yang sensasi, yang akan membuatkan orang ramai terhibur dengan lagu TikTok yang sedang 'trending', menambahkan sentuhan keterujaan pada konsert itu," jelas penganjur.


Sementara itu venue konsert yang telah dirancang untuk diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, kini telah bertukar ke ZEPP, Kuala Lumpur. Pertukaran venue tersebut mungkin akan mengurangkan kapasiti tempat duduk, namun ini adalah langkah perlu bagi memastikan konsert itu berlangsung seperti yang dibayangkan. Suasana intim ZEPP KL akan memberikan pengalaman yang luar biasa untuk kedua-dua penghibur dan penonton, terutamanya dengan ruang VVIP yang selesa dan berkelas.


Pihak penganjur memaklumkan menghadapi cabaran besar dari segi persepsi dan usaha untuk mendapatkan permit yang diperlukan berikutan keadaan situasi semasa.


"Walau bagaimanapun, kami telah bersungguh-sungguh mengharungi cabaran ini untuk akhirnya membawakan anda acara yang ditunggu-tunggu ini.


"Salah satu keutamaan kami ialah mempromosikan dan memartabatkan muzik Dangdut. Dengan konsert ini, kami berhasrat untuk mempamerkan persembahan yang mencapai keseimbangan sempurna, memastikan pematuhan dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Puspal. Perubahan tempat dan skala acara yang lebih kecil memerlukan pelbagai pelarasan strategik, termasuk perubahan dalam harga tiket," jelas penganjur.


Konsert Milenia
Harga tiket Konsert Milenia

Tiket konsert boleh didapati dalam lima kelas terdiri dari Standing Milenia (RM 219.00), Standing Koplo (RM 199.00), VIP Seating Gold (RM 279.00), Free Seating Diamond (RM 239.00), dan VVIP Box mewah (RM 4499.00), Pembelian awal turut ditawarkan dengan harga 'Early Bird' istimewa. Penonton boleh menghubungi talian hotline: 011-5879 5699 untuk pembelian tiket.


Untuk penonton yang membeli tiket kelas VVIP Box, mereka berpeluang menikmati bufet makan malam mewah disamping beramah mesra bersama barisan penyanyi pujaan mereka dalam satu sesi 'Meet & Greet' yang telah diaturkan pihak penganjur.


Konsert Milenia yang akan datang menjanjikan perjalanan muzikal yang tiada tandingannya, menghimpunkan artis Dangdut legenda dari Malaysia dan Indonesia. Dengan barisan yang disusun rapi, persembahan menarik dan penyertaan DJ Dugem, konsert ini bersedia untuk memikat hati peminat Dangdut.

bottom of page