Dalam langkah untuk merevolusikan perkhidmatan pengangkutan di Lembah Klang, perkhidmatan e-hailing terbaharu, GV Ride, telah diperkenalkan baru-baru ini. Perkhidmatan ini bersedia untuk bersaing dengan pemain terkenal di negara ini serta memberikan alternatif pengangkutan yang cekap dan boleh dipercayai kepada pengguna di Malaysia. Dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan keselesaan, GV Ride dijangka menjadi penambah utama dalam industri e-hailing negara.

Majlis pra-pelancaran dan pengenalan perkhidmatan itu kepada media berlansung baru-baru ini di pejabat urusan GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV) di Kajang. GVV mensasar untuk memulakan operasi penuh perkhidmatan GV Ride kepada orang ramai bermula September 2024.
Menurut Pengarah Urusan GVV, Ir. Vincent Chew, proses pendaftaran sebagai pemandu e-hailing GV Ride telah dibuka dan kini mereka telah menerima sejumlah permohonan dari orang ramai yang berminat. Sebagai permulaan, orang ramai yang mempunyai kenderaan berusia kurang dari 15 tahun dan memiliki lesen 'Public Service Vehicle' (PSV) boleh mendaftar sebagai pemandu GV Ride secara percuma. Proses pendaftaran sebagai pemandu GV Ride boleh dilakukan menerusi laman sesawang GV Ride.
Ir. Vincent Chew memberitahu kepada media, perkhidmatan mereka menitikberatkan keselamatan penumpang dan kualiti perkhidmatan yang tinggi. Semua pemandu telah melalui proses penyaringan yang ketat dan mempunyai lesen pemandu yang sah.
"Kami berkomitmen untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selesa, selamat, dan berpatutan kepada semua pelanggan kami. Kebolehpercayaan dan kepuasan pelanggan adalah keutamaan utama kami."
Dengan aplikasi mudah alih yang tersedia pada kedua-dua platform iOS dan Android, GV Ride menjanjikan pengalaman mesra pengguna yang menghubungkan penumpang dengan pemandu yang boleh dipercayai dengan lancar. Aplikasi ini menawarkan ciri-ciri seperti penjejakan masa nyata, tempahan tunggangan dengan tambang sendiri, negosiasi serta pembidaan harga dan pilihan pembayaran tanpa tunai, memberikan kemudahan dan ketelusan kepada pengguna.

Armada GV Ride terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan untuk memenuhi pelbagai keperluan penumpang, daripada penumpang solo kepada pengembara berkumpulan. Keselamatan merupakan keutamaan untuk perkhidmatan, dengan proses pemeriksaan pemandu yang ketat dan piawaian penyelenggaraan kenderaan disediakan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk penumpang.
Selain menyediakan pilihan pengangkutan yang boleh dipercayai untuk penumpang, GV Ride menyasarkan untuk mewujudkan peluang ekonomi untuk pemandu di negara ini. Dengan bekerjasama dengan pemandu tempatan dan menawarkan insentif yang kompetitif, perkhidmatan itu berharap dapat memperkasakan individu untuk memperoleh pendapatan yang mampan sambil menyediakan perkhidmatan pengangkutan penting kepada masyarakat.
Dalam langkah untuk mengembangkan perniagaannya, GV Ride merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing menggunakan kenderaan elektrik (E.V.) menjelang akhir tahun 2024. Perkhidmatan ini bakal memenuhi keperluan pelbagai pengguna termasuk pemandu dan penumpang. GV Ride menjanjikan rancangan yang dinamik dan bersedia untuk melayani semua keperluan pengangkutan di kawasan perkhidmatan mereka.
Dengan pelancaran GV Ride, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila menggunakan perkhidmatan e-hailing di sekitar Lembah Klang. Ini dijangka akan meningkatkan tahap persaingan dalam pasaran e-hailing tempatan, memberi manfaat kepada pengguna dengan peningkatan kualiti perkhidmatan dan harga yang lebih kompetitif.
Comments