'Pesonakan Bintangmu': Dewi Remaja Kembali dengan 12 Wajah Baharu di Ulang Tahun Ke-40!
- MYB
- 5 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Program realiti pencarian ikonik negara, Dewi Remaja, kembali menggegarkan persada hiburan Malaysia dengan pengenalan 12 finalis baharu bagi edisi ulang tahun ke-40.

Bertemakan Pesonakan Bintangmu, edisi Dewi Remaja 2025 ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih segar, penuh inspirasi, dan relevan dengan jiwa remaja masa kini. Barisan 12 finalis ini tampil dengan kepelbagaian latar belakang yang unik, mencerminkan wajah sebenar generasi muda Malaysia.
Menurut Fiezreen Ahmad, Ketua Bahagian New Gen & Men’s merangkap Editor Pengurusan
Remaja, finalis kali ini bukan sahaja cantik dan berketerampilan, tetapi juga membawa kisah peribadi dan latar belakang yang sarat nilai inspirasi, termasuk dari dunia seni, akademik, dan sukan negara.
Matlamat edisi kali ini adalah untuk mencabar para finalis keluar dari zon selesa, menguji mental, emosi, dan daya kreatif mereka untuk membentuk identiti unik masing-masing.
Program utama ini akan disempurnakan oleh barisan juri yang berwibawa. Pelakon prolifik yang bergelar Ratu Versatil Malaysia, Nabila Huda, dilantik sebagai juri tetap untuk membawa perspektif yang tajam dan teliti dalam menilai keperibadian, bakat, dan ketulenan finalis.
Beliau digandingkan dengan hero layar perak, Kamal Adli, yang melengkapkan barisan juri tetap dengan pengalaman luas dan karisma di pentas hiburan. Selain itu, setiap minggu akan menampilkan juri jemputan daripada kalangan alumni Dewi Remaja, sekali gus menghidupkan semangat 40 tahun legasi pertandingan ini.
GALERI : FINALIS DEWI REMAJA 2025
Program utama Dewi Remaja 2025 akan mula bersiaran pada 10 Oktober 2025, setiap hari Jumaat, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) serta boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.
Malam kemuncak (finale) pula dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025. Bagi pengalaman tontonan 360 darjah, penonton turut disajikan dengan kandungan tambahan iaitu
Diari Dewi Remaja (setiap Isnin, 11 malam) dan Kapsul Dewi Remaja (setiap Khamis, 10.55 malam), yang akan menyingkap sisi peribadi dan perjalanan transformasi para finalis . redONE Mobile turut tampil sebagai Rakan Telco rasmi, menyokong penuh bakat-bakat muda yang sedang menyerlah.