• MYB

Program MIC ON! Masuk Musim Kedua

Stesen penyiaran swasta milik Awesome Media Network Berhad, Awesome TV, bakal membawakan kembali program pertandingan realiti nyanyian, MIC ON!, untuk musim yang kedua.


Awesome TV
Program realiti Mic On! bakal bersiaran untuk musim ke-2

MIC ON! musim ini bakal menyaksikan kehadiran tiga pelawak popular negara, Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus kepada 15 anak didik iaitu peserta yang akan bertanding bagi merebut gelaran Juara seterusnya membawa pulang wang kemenangan yang bakal diumumkan pada episod pertama nanti.


MIC ON!, sebuah program realiti yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi ini diterbitkan bertujuan untuk mencungkil bakat anak-anak muda tempatan agar boleh dijadikan barisan pelapis dan mewarnai lanskap seni tanah air di masa hadapan.


Kesemua 20 peserta yang hadir dari pelbagai latar belakang ini meletakkan kepercayaan sepenuhnya keatas ketiga-tiga pemain komedi ini untuk menjadi Pengurus dalam menguruskan sesi latihan nyanyian serta membimbing dan mempersiapkan mereka untuk persembahan mingguan.



Menariknya lagi, untuk musim ini, MIC ON! akan menampilkan tiga nama tersohor dalam bidang seni tanah air dan begitu dihormati ramai untuk menerajui tugas sebagai Juri Tetap. Kepercayaan tersebut diberikan kepada Lagenda Rock; Dato’ Awie dan Dato’ Hattan serta Ratu Dangdut, Mas Idayu.


Dalam pada itu, keluarga MIC ON! musim ini turut mengalu-alukan kehadiran figura sensasi, Diva AA atau Azwan Ali sebagai Pengacara yang mana beliau akan mengemudi bersama Issey Fazlisham.

Untuk musim ini, MIC ON! telah menerima sambutan hangat untuk sesi saringan ujibakat yang telah diadakan secara dalam talian. Seramai 100 orang peserta telah disenarai pendek untuk menghadiri uji bakat secara bersemuka. Dari jumlah tersebut, seramai 15 orang telah berjaya menepati kriteria yang ditetapkan pihak juri dan akhirnya dipilih untuk bertanding di pentas utama MIC ON! musim ini.


MIC ON! musim kedua akan mula bersiaran pada 28 Januari 2022, setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam di saluran 123 (Astro) dan 112 (MyTV). Penonton juga boleh mengikuti perkembangan terkini MIC ON! musim ini menerusi akaun media sosial Awesome TV dan siaran tertunda MIC ON! musim kedua boleh ditonton di laman web rasmi www.awesometv.my.

0 comments