Program Wacana Srikandi Meraikan Kehebatan Wanita Malaysia
top of page
  • Writer's pictureMYB

Program Wacana Srikandi Meraikan Kehebatan Wanita Malaysia

Program Wacana Srikandi yang disempurnakan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri di Pusat Konvensyen Shah Alam menjadi platform yang unggul bagi para wanita di Malaysia untuk bersatu, berinspirasi dan meraikan kehebatan mereka bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.



Majlis yang julung kalinya dianjurkan oleh SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) menampilkan tiga usahawan berjaya yang berkongsi rahsia kejayaan mereka melalui forum yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dengan tajuknya ‘Wanita Inspirasi, Ikon Berkualiti’ telah memberikan inspirasi suntikan semangat kepada para tetamu yang hadir terutama dalam mengarus perdana gender.


Antara panel yang hadir ialah Aliza Ali, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aleeya Zailan, Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn. Bhd. dan Masitah Mohd Affandy, Penerima Anugerah Pesona Wanita Inspirasi Johor.



“Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini dengan tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’ yang memberikan penekanan kepada pentingnya membentuk budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua lapisan masyarakat, sebagai usaha untuk memartabatkan wanita di Malaysia.


“Kami di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan para wanita untuk sentiasa bergiat secara aktif dalam bidang ekonomi serta tenaga buruh, di mana kedua-dua ini dapat membantu dalam menjana pendapatan untuk diri sendiri, keluarga sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.


Selain itu, majlis turut diceriakan dengan persembahan yang memukau daripada penyanyi tanah air iaitu Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri serta persembahan fesyen dengan 21 peragaan daripada House of Jedan Shah Alam dengan temanya ‘Cahaya Di Aidilfitri’.



Program Wacana Srikandi kali ini turut memberikan penghargaan kepada 3 buah rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, cawangan Selangor, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah.


Sajian istimewa daripada cef berpengalaman di Pusat Konvensyen Shah Alam, saguhati dan hadiah kepada tetamu bertuah merupakan antara pengalaman dan kenangan manis yang dapat dibawa pulang oleh para tetamu yang hadir.


Program Wacana Srikandi ini disokong oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku penaja utama dan para penaja lain iaitu Menteri Besar Incorporated, Worldwide Holdings Berhad, Selgate Corporation, Datum Corp International Sdn. Bhd., Johawaki, Argania, Ferraflora, CIMB Bank, Concorde Hotel, Naturel dan House of Jedan Shah Alam dengan kerjasama Thrillerz dan MyTicket Asia.

bottom of page