top of page

Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025: Menyemai Cinta Budaya dan Warisan dalam Jiwa Generasi Muda

  • Writer: MYB
    MYB
  • 13 Okt
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR - Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields menjadi saksi kepada kemeriahan Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025, sebuah inisiatif berwarna-warni yang menyatukan seni, budaya dan warisan dalam jiwa anak-anak Malaysia.


Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025: Menyemai Cinta Budaya dan Warisan dalam Jiwa Generasi Muda
(Kiri-Kanan) Puan Sharifa Nafies, Puan Suraya Rahman, Tuan Vijay, YBrs Datuk Rajah Symon, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Tuan Pallani, Pengerusi Persatuan Kebajikan Sinaran Matahari Tuan Pallani, Cik Asyura Ismail dan Cik Rebecca George

Festival selama dua hari ini (11–12 Oktober) dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Sinaran Matahari Kuala Lumpur/Selangor (PKSM) dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN). Majlis penutup program yang berlansung semalam turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Rajah Symon.


Meneruskan kejayaan Festival Seni Warisan India 2023, PKSM tampil dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, menekankan kepentingan kesedaran budaya dan kemampanan dalam kalangan generasi muda.



Menurut Ketua Publisiti dan Program PKSM, Puan Suraya Rahman, festival ini bertujuan menanamkan rasa cinta terhadap warisan bangsa serta memperkukuh semangat Malaysia MADANI melalui seni dan budaya.


“Pendedahan awal terhadap seni dan warisan mampu membentuk anak-anak yang berjiwa bangsa, berdisiplin dan menghargai kepelbagaian budaya negara,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang mencuri perhatian termasuk persembahan silat oleh Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, demonstrasi Wusyu Taijiquan oleh Persatuan DongBei Bei, seni Silambam, tarian tradisional oleh Artis Cilik Setiawangsa, serta persembahan bertenaga daripada MJ Dance Troupe.


Dalam satu sidang media yang berlangsung sejurus tamatnya program itu, Datuk Rajah Symon turut menyuarakan sokongan penuh terhadap penganjuran lebih banyak program bertemakan warisan budaya pada masa hadapan.


Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025: Menyemai Cinta Budaya dan Warisan dalam Jiwa Generasi Muda
Datuk Rajah Symon, menyarankan agar lebih banyak lagi program bertemakan warisan dianjurkan pada masa hadapan serta turut menyatakan kesediaan untuk membantu menjayakan kolaborasi bersama PKSM

Beliau menyarankan agar acara seperti ini dijadikan inisiatif berterusan, dengan cadangan agar ia diadakan secara bulanan di lokasi tumpuan pelancong di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), seperti Dataran Merdeka. Menurut beliau, langkah ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti budaya negara, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.


Datuk Rajah turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Persatuan Kebudayaan dan Seni Malaysia (PKSM) dalam menjayakan kolaborasi masa depan. Beliau mencadangkan agar program-program ini dimasukkan ke dalam Calendar of Events Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebagai usaha memperluas capaian dan impak acara kepada masyarakat umum.


PKSM turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC dan Unit GSKK atas sokongan berterusan dalam menjayakan usaha memperkasa seni dan budaya komuniti. Komitmen PKSM jelas dalam usaha menjadi jambatan antara masyarakat, kebajikan dan budaya, ke arah Malaysia MADANI yang sejahtera dan berbudaya tinggi.



Komen


bottom of page