Pusat Beli Belah Alamanda Dan Mesra Mall Anjur Program CSR, Santuni Anak Yatim Sempena Ramadan
top of page
  • Writer's pictureMYB

Pusat Beli Belah Alamanda Dan Mesra Mall Anjur Program CSR, Santuni Anak Yatim Sempena Ramadan

Seiring dengan kehadiran bulan Ramadan, untuk kesekian kalinya Pusat Beli-Belah Alamanda menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan yang kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Bangi.



Seramai 42 kanak-kanak yang berumur 8 sehingga 17 tahun disambut mesra oleh Pengurus Besar Pusat Beli-Belah Alamanda, Pang Sook Fong apabila mereka tiba di perkarangan ‘Centre Court’, Pusat Beli-Belah Alamanda.


Antara detik yang paling bermakna buat anak-anak kecil ini apabila mereka menerima tajaan kelengkapan Hari Raya. Senyuman dan kegirangan jelas terpancar di wajah mereka ketika mana mereka diberi peluang untuk memilih sendiri persalinan aidilfitri termasuk baju raya serta kasut raya yang baharu.


Selain daripada tajaan membeli-belah, anak-anak ini dihiburkan dengan persembahan tradisional ‘dikir barat’. Untuk keceriaan berganda, mereka turut menerima sumbangan berbentuk ‘duit raya’ dan sepasang lagi persalinan baju raya yang ditaja oleh rakan niaga Pusat Beli-Belah Alamanda. Program menyantuni anak-anak yatim ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa di sebuah restoran di Pusat Beli-Belah Alamanda.

Pengarah Esekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien mengulas, “Sebagai sebuah organisasi yang fokus dengan tanggungjawab sosial korporat, adalah suatu yang sinonim bagi kami untuk terus memberi semula kepada masyarakat dan komuniti sekitar. Kami amat berbangga dengan peluang yang diberikan untuk menyantuni Anak-Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah pada bulan yang mulia ini.


“Kami berharap sumbangan kecil kami mampu mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim ini selain daripada memberi semangat kepada organisasi yang lain untuk turut proaktif dalam penganjuran program seperti ini. Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan niaga kami yang turut menyalurkan sumbangan bagi menjayakan program ini,” jelasnya.


GALERI

Keriangan jelas terpapar di setiap wajah anak-anak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Bangi yang diraikan pengurusan Alamanda bersama penaja pada program CSR yang berlansung baru-baru ini.



Turut hadir di majlis ini, penjaga Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim/Miskin Rukaiyah, Puan Siti Eshah yang turut berkata, “Saya, sebagai penjaga dan wakil pusat Anak-Anak Yatim/Miskin Rukaiyah ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga terhadap Pusat Beli Belah Alamanda kerana telah menganjurkan majlis ini untuk anak-anak di rumah Rukaiyah.


Kami amat terharu dengan kebersamaan pelbagai pihak di dalam memastikan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan tidak dilupakan untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.


Sementara itu di Kemaman, Pusat Beli-Belah Mesra telah mengadakan majlis amal jariah pada 6 April 2023 yang mana mereka berkesempatan untuk menyantuni 30 orang anak yatim daripada Persatuan Kebajikan Al-Islam Huzai Kemaman (Rumah Huzai).


Majlis yang diberi nama ‘Jalinan Mesra’ telah diadakan di Dewan Mesra yang mana barisan anak yatim tersebut dirai dengan sambutan yang meriah.


Pengurus Besar Pusat Beli-Belah Mesra, Junaidy Jamaludin menyambut ketibaan 16 kanak kanak lelaki dan 14 kanak-kanak perempuan yang berumur dari 7 tahun sehingga 17 tahun. Kanak-kanak perempuan telah menerima sepersalinan baju kurung serta selendang, manakala kanak-kanak lelaki menerima persalinan baju melayu bersama sampin sebagai persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri.


Tidak kurang daripada itu, kanak-kanak tersebut menerima pelbagai hadiah daripada pihak pengurusan dan duit raya yang bernilai RM100 setiap seorang. Kesemua mereka turut menerima tajaan berbuka puasa dan dalam pada masa yang sama, mereka turut dihiburkan dengan persembahan nasyid.

Majlis iftar yang berlangsung itu turut menerima tajaan daripada rakan niaga Pusat Beli-Belah Mesra seperti Rasa Sayang, The Body Shop, TMC, BH Beauty, U-Sport, Tealive, Cuckoo, D'Laksa, Rasa Kampung, Mee Tarik Warisan Asli, Tastebuds, Nasi ZNZ, Yong Tau Fu dan VV Rosegold.


Pengurus Rumah Huzai berkata, “Majlis ini adalah majlis yang sangat memberi makna kepada semua penghuni Rumah Huzai. Ia bukan hanya kerana hadiah dan sambutan yang diberikan, tetapi perhatian dan sikap ambil peduli yang kami terima. Kami amat berterima kasih kerana telah menjadikan hari ini hari yang amat istimewa.”

bottom of page