top of page
  • Writer's pictureMYB

Radja Band Bakal Adakan Konsert Bersama Ella Di Kuala Lumpur November 2023

Demam rock yang melanda negara baharu-baharu ini masih belum reda, terbaharu, band rock bertaraf legendaris dari Indonesia, Radja, yang dianggotai Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) bersama Ratu Rock Negara, Ella bakal disatukan dalam sebuah konsert di tengah-tengah ibu kota melalui ‘LIVE IN CONCERT : RADJA & SPECIAL APPEARANCE ELLA (JUJUR TAKKAN MELUPAKANMU)’.



Konsert yang dijadualkan berlansung pada tanggal 12 November 2023, bermula jam 7:00 malam bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dibawakan khas oleh penganjur konsert Malaysia yang tidak asing lagi, Orange International Entertainment.


Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram)

“Rindu rasanya untuk bertemu kembali dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lamanya, dan ini bukan kali pertama Radja datang ke Malaysia kerana sudah pun tiba seawal tahun 2004 dan 2005 lagi, dan setiap kali mengadakan persembahan selalunya berjaya,” kongsi Ian.


Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dengan juga peminat.


“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Moldy.


Bukan sahaja Radja, malah Ratu Rock Malaysia, Ella juga bakal beraksi di pentas yang sama.


“Ini merupakan idea yang sudah lama diutarakan bahawa kami ingin berkolaborasi dengan Ratu Rock Malaysia iaitu Ella dalam sebuah pentas, dan pihak penganjur konsert iaitu Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.


“Dua lagu hits Radja ‘Jujur’ dan ‘Takkan Melupakanmu’ nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini disamping menjalin perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” kata Seno.


Sebelum ini, pihak penganjur telah pun mengadakan konsert oleh kumpulan Ungu pada penghujung tahun lepas dengan jayanya dan menerima sambutan yang memberangsangkan, menurut Dato’ Fazli, CEO & Pengasas Orange Entertainment International, “Kami bawakan anda band rock Indonesia termasyhur, Radja dalam sebuah konsert gilang-gemilang bersama Ratu Rock Ella buat tatapan peminat-peminat rock di Malaysia, kami menyahut baik permintaan Radja yang mahukan Ella untuk turut serta bersama-sama mereka di pentas yang sama.



“Saya berharap peminat rock Indonesia dan Malaysia akan terhibur dan jangan lupa membeli tiket konsert sebelum terlambat. Radja hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan mari kita sama-sama ‘enjoy’ pada malam konsert nanti, jumpa anda di Kuala Lumpur!", akhiri Ian


Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my.

bottom of page