top of page
  • Writer's pictureMYB

Rain Town: Filem Kantonis Pertama Arahan Tunku Mona Riza Tunku Khalid

Tunku Mona Riza Tunku Khalid telah mencipta nama menerusi filem "Redha" yang membawa tema autisme pada tahun 2016. Kini, beliau kembali dengan naskah terbarunya yang berjudul 'Rain Town'. Filem ini masih mengangkat kisah kekeluargaan, tetapi memiliki keistimewaan tersendiri kerana dihasilkan dalam bahasa Kantonis dan diarahkan oleh seorang pengarah Melayu.


Rain Town
Sidang media majlis pelancaran filem 'Rain Town' bersama pengarah Tunku Mona Riza serta barisan pelakon filem tersebut yang berlansung baru-baru ini di DADI Cinema, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran filem tersebut telah berlansung baru-baru di DADI Cinema, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon filem 'Rain Town' terdiri dari Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.


Menerusi filem tersebut, Tunku Mona Riza sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi pengarah wanita Melayu pertama yang mengarahkan filem berbahasa Kantonis di Malaysia.


Tunku Mona Riza mendapat idea untuk menghasilkan Rain Town apabila mendengar tentang aktiviti pertaruhan "Rain Betting" yang begitu sinonim dengan warga Cina di daerah Taiping, Perak yang bertaruh dengan meneka masa hujan suatu ketika dahulu. Kisah ini sangat unik dan menarik minat beliau untuk menggambarkan sebuah cerita keluarga yang penuh dengan konflik.


Aktiviti pertaruhan "Rain Betting" tidak menjadi fokus utama filem ini, tetapi Tunku Mona Riza mencipta watak Choo, seorang yang suka bertaruh, dan seorang bapa yang terlalu mengawal kehidupan anak-anaknya sehingga menyebabkan ketegangan dalam keluarga mereka.


Filem 'Rain Town' diterajui oleh dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester. Mereka turut disertai oleh barisan pelakon-pelakon lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee, dan Pauline Tan. Dengan jalinan lakonan yang cemerlang, mereka mampu menghidupkan watak-watak dalam filem ini dengan baik.



Menurut Tunku Mona Riza, beliau sentiasa mencari cabaran baru dalam kerjayanya sebagai seorang pengarah. Sebagai pengarah yang sering bekerja di pelbagai bahasa sebelum ini, beliau ingin mencuba sesuatu yang berbeza dengan menghasilkan filem berbahasa Kantonis. Beliau meyakini bahawa pengalaman ini dapat memberikan satu perspektif dan pengalaman yang unik dalam kerjayanya.


Bagi Tunku Mona Riza, cabaran penghasilan filem Rain Town bukan hanya dari segi teknikal dan produksi filem, tetapi juga untuk menarik pelbagai penonton dari pelbagai lapisan masyarakat. Biarpun filem ini berbahasa Kantonis, beliau berharap agar ianya dapat menarik minat penonton tidak hanya dari kalangan penonton bangsa Cina, tetapi juga dari kalangan lain. Beliau berharap agar filem ini dapat menjadi inspirasi kepada pengarah-pengarah lain untuk menghasilkan karya yang berbeza dari segi bahasa dan budaya.



 

Sinopsis Filem



Rain Town mengisahkan tentang seorang bapa, Choo, yang terlalu mengendalikan hidup tiga orang anaknya, Isaac, Alex, dan Ruby. Akibat daripada perlakuan Choo yang terlalu mendominasi, hubungan dalam keluarga ini semakin merenggang. Apabila isteri Choo, Aileen, mengalami kemalangan, konflik dalam keluarga tersebut semakin meningkat. 'Rain Town' adalah sebuah kisah yang mengharukan yang menunjukkan perbezaan antara impian dan harapan orang tua dengan impian dan harapan anak-anak mereka.


 


Selain itu, Tunku Mona Riza juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi Dan Digital dan FINAS atas sokongan yang diberikan menerusi Dana Kandungan Digital untuk penerbitan filem Rain Town.


Filem 'Rain Town' akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari 2024, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.


Jadi, jangan lupa untuk menyaksikan kisah konflik kekeluargaan keluarga Choo dan merasai pengalaman yang penuh dengan emosi dalam filem 'Rain Town' serta melihat bagaimana hebatnya kemahiran pengarah wanita Melayu Pertama, Tunku Mona Riza Tunku Khalid.

bottom of page