Penyanyi jelita Indonesia, Raisa, bakal menghangatkan pentas Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 3 November 2024 ini menerusi konsert solo terbarunya, 'Raisa - Teristimewa di Kuala Lumpur'.
Konsert yang dianjurkan oleh Kharisma Music ini dijangka akan membawakan pengalaman muzik yang berbeza berbanding persembahan-persembahan beliau sebelum ini di ibu negara.
Dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, Raisa menegaskan bahawa konsert kali ini benar-benar istimewa kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam segala persiapan bersama pasukannya.
Penyanyi yang mula melonjak nama melalui single 'Serba Salah' pada tahun 2011 ini akan membawakan lebih 20 buah lagu sepanjang konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam.
Pemenang 'Artis Baru Terbaik' di Anugerah Musik Indonesia ke-15 ini akan turut membawakan lagu-lagu hit popularnya seperti 'Kali Kedua', 'Jatuh Hati' dan 'Mantan Terindah', diiringi barisan pemuzik profesional yang akan dibawa khas dari Indonesia.
Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny berkata, konsert ini akan menampilkan reka bentuk pentas yang menarik beserta kesan audio visual yang mengagumkan. Pemegang tiket VVIP dan VIP pula berpeluang untuk bertemu Raisa dalam sesi 'meet & greet' eksklusif.
Tiket konsert boleh didapati dengan harga early bird yang menarik, bermula dari RM208 untuk kategori LDR hingga RM868 untuk kategori Teristimewa VVIP. Semua tempat duduk adalah berbentuk 'seated', memberikan keselesaan maksimum kepada penonton. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di ticket2u.com.my/raisa.
Konsert yang mendapat tajaan dari Garuda Indonesia, Alha Alfa, Intan Gelombang dan Futurace ini turut disokong oleh ERA sebagai rakan radio rasmi dan Gempak.com sebagai rakan media rasmi.
Comentários