Revolution Stage Pentaskan Kembali Teater Dwi-Bahasa Ratna Kadhal di PJPAC
top of page
  • Writer's pictureMYB

Revolution Stage Pentaskan Kembali Teater Dwi-Bahasa Ratna Kadhal di PJPAC

Buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, Revolution Stage dengan kerjasama JKKN Selangor akan mementaskan Teater Ratna Kadhal, yang kini akan dipersembahkan di pentas yang lebih besar, menerokai tema perpaduan, perbezaan kaum dan kekeluargaan dalam pengalaman teater visual yang menakjubkan dan mengasyikkan.


Teater Ratna Kadhal menampilkan barisan pelakon teater baru dan lama yang berpengalaman dan berbakat besar.

Penerbitan teater dwibahasa yang dinanti-nantikan ini, pertama kali telah dipersembahkan pada tahun 2012 dan berjaya menerima pujian serta perhatian yang hebat, lalu di pentas semula setahun selepas itu dan dilakonkan oleh pelakon terkenal di tanah air, antaranya Beto Kusyairy, Azman Hassan, Aloy Paradoks dan Fazleen Hishamuddin.


Walaupun telah banyak kali dipentaskan oleh pelajar-pelajar universiti dan kelas lakonan sepanjang sepuluh tahun yang lalu dengan penyesuaian seterusnya merentasi pelbgai platform, pihak Revolution Stage membawa teater dwibahasa ini kembali ke pentas yang lebih besar, di Stage 1 Theatre, PJPAC untuk menyampaikan mesej teater in dengan lebih meluas.


Penerbit dan pengarah Khairunazwan Rodzy berhasrat untuk mengangkat teater Ratna Kadhal 2023 ke tahap yang lebih tinggi dengan mencabar diri dan pasukan produksinya untuk mencipta produksi yang lebih hebat dan mengasyikkan dengan memperkenalkan perubahan arah dan penceritaan visual. Dengan menggunakan pendekatan visual dan konseptual yang segar, penonton akan dapat menghargai persembahan pada tahap yang lebih mendalam. Pendekatan ini juga akan menonjolkan tema perbezaan kaum dan perpaduan yang menjadi teras kerja yang memikat emosi ini.


Selain itu, Khairunazwan Rodzy turut menampilkan barisan pelakon yang berpengalaman disamping pelakon teater baharu yang berbakat besar. Antara pelakon yang akan menyerikan pentas Ratna Kadhal 2023 ialah pengacara dan pelakon terkenal Sugeeta Chandran, Uyaina Arshad, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2019, Rosdeen Suboh, penerima Anugerah Best Male Debut di Anugerah Telenovela 2023, Idham Maulana, Aghonderan Sahadevan dan barisan pelakon muda dan kian meningkat seperti Bai Haq Majid, Khal Isyaf dan ramai lagi.


Sugeeta Chandran

 

SINOPSIS


Perkenalan manis Ustazah Kamisah dan Krishnan, seorang tukang kebun sekolah yang dahagakan ilmu tentang tanggungjawab suami dan isteri dalam sudut pandang Islam telah membawa ke sebuah penceritaan dari Krishnan tentang kisah hidup Ratna.


Ratna merupakan seorang penari tradisional yang diwarisi oleh mendiang ibu bapanya, telah jatuh cinta dengan seorang jejaka Melayu bernama Nasir di dalam sebuah perkampungan yang mempunyai dua puak utama, iaitu puak Siva dan puak Lokman. Ketua kumpulan Siva merupakan abang kepada Ratna, bermusuhan dengan puak samseng Nasir yang di ketuai oleh Lokman, anak ketua kampung tersebut.


Risau dengan peningkatan pengaruh puak Siva, Lokman telah merancang sesuatu dengan hasad dengki bagi menjatuhkan usaha orang orang Siva di kampung tersebut. Nasir dan Ratna terpaksa menyembunyikan hubungan cinta mereka kerana takut di ketahui Siva atau keadaan akan menjadi lebih tegang. Apa yang berlaku pada cinta suci Nasir dan Ratna? Adakah mereka mampu untuk meneruskan percintaan walaupun warna kulit dan budaya yang berbeza?


Diakhirnya, setelah mendapat tahu kebenaran kisah Ratna daripada Krishnan, Ustazah Kamisah menjadi terkejut lalu dihalau okeh Krishnan membuatkan Ustazah Kamisah meninggalkan satu lagi buku ilmu di depan rumah Krishnan.

 


Walaupun teater ini berlatar belakangkan suasana pada tahun 1950-an dan 1990-an, Ratna Kadhal 2023 berusaha untuk mengetengahkan tema yang relevan yang bergema dengan masyarakat kontemporari. Penerokaan isu perpaduan dan perbezaan kaum dalam karya teater ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penonton, menekankan kepentingan menerima kepelbagaian dan keharmonian.


Menurut penerbit produksi Kirin Muhamad, Revolution Stage menyasarkan untuk memenuhi misinya untuk menyampaikan mesej bermakna sambil mengajak rakyat Malaysia untuk menghargai dan terlibat dengan teater tempatan.


“Kami ingin meneruskan tradisi dan misi utama di Revolution Stage, dimana kami bukan sahaja membawa hiburan, tapi membawa mesej yang bermakna, disamping mengajak lebih ramai rakyat Malaysia untuk menonton dan menghargai teater tempatan," jelas Kirin.


Teater Ratna Kadhal bakal dipentaskan pada 11 – 15 Oktober di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) dan tiket boleh didapati di www.revolutionstage.com. Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi produksi Revolution Stage melalui Instagram mereka @revolutionstage atau emel ke revolutionstageproduction@gmail.com

bottom of page