Sasi The Don Rai 25 Tahun Dalam Industri Muzik Dengan Album Baharu My Perfect Yard
- MYB
- 5 hari lalu
- 2 min membaca
Kuala Lumpur – Nama yang tidak asing lagi dalam dunia muzik reggae tempatan, Sasi The Don, meraikan perjalanan seni selama 25 tahun dengan pelancaran album terbaharunya berjudul My Perfect Yard. Album ini menjadi simbol kepada dedikasi dan ketekunan beliau dalam industri muzik tanah air serta usaha membawa muzik reggae ke pentas global.

Menariknya, album ini menampilkan single utama berjudul Fyre yang dilancarkan pada 26 September 2025. Lagu yang bertemakan keberanian, perpaduan dan kekuatan diri ini turut mempersembahkan kolaborasi istimewa bersama Dr. Jerusha Naidoo, seorang doktor perubatan dan penyanyi berbakat dari Afrika Selatan yang kini menetap di Malaysia.
Muzik video Fyre turut tampil unik dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) hasil kerjasama OneDrop Studios dan ArtHart Studios, membuktikan bagaimana teknologi canggih boleh memperkayakan seni visual masa kini.
Album My Perfect Yard mendapat sokongan penuh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif – Dana Kebolehan Pasaran, sekali gus mengukuhkan usaha kerajaan dalam memperkasakan artis tempatan dan mengangkat industri kreatif Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Di dalam album ini juga, Sasi the Don turut berkolaborasi bersama Dato’ Awie dalam single terbaharu berjudul Oh My Kawan. Lagu ini bukan sekadar karya muzik, malah ia menjadi simbol persahabatan, kesetiaan, dan semangat positif yang dekat di hati peminat.

Tidak hanya itu, redONE Mobile turut tampil sebagai rakan kolaborasi untuk video muzik Fyre. Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile, Ameen Amaendran, menyatakan kerjasama ini sejajar dengan komitmen syarikat dalam memberi nilai tambah kepada masyarakat, selain mempromosikan semangat perpaduan melalui muzik.
Sony Music Malaysia pula menjadi tonggak penting dalam memastikan karya terbaru ini dapat menembusi pasaran serantau dan antarabangsa. Album My Perfect Yard dijangka berada di pasaran pertengahan November 2025, sekali gus menandakan satu lagi detik bersejarah dalam kerjaya Sasi The Don.
Bagi Sasi, karya ini bukan sahaja catatan perjalanan selama dua dekad setengah dalam industri, tetapi juga lambang kekuatan muzik sebagai medium penyatuan dan inspirasi merentasi generasi serta budaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini, peminat boleh melayari laman web rasmi beliau di www.sasithedon.com