Seri Pacific Kuala Lumpur Lancar Pantai Timur Fest 2025, Bawa Aroma dan Budaya Kelantan, Terengganu, Pahang ke Ibu Kota
- MYB
- 23 Sep
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Bersempena dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur dengan bangganya mempersembahkan Pantai Timur Fest 2025. Festival kulinari dan budaya ini, yang merupakan hasil kolaborasi dengan Tourism Malaysia dan beberapa agensi kerajaan tempatan , bakal membawa keunikan warisan negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang ke tengah-tengah ibu kota.

Festival ini akan berlangsung dari 2 hingga 21 Oktober 2025. Ia terbahagi kepada dua fasa utama. Fasa pertama, Festival Utama, akan diadakan di kawasan parkir VIP Seri Pacific Hotel dari 2 hingga 5 Oktober 2025.
Di sini, pengunjung boleh menikmati lebih daripada 30 gerai makanan yang menawarkan hidangan tradisi seperti Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Keropok Lekor. Fasa kedua pula, Pameran Restoran, akan berlangsung dari 6 hingga 21 Oktober 2025 di Restoran Zende, hotel tersebut.
Menurut Is. Leftenan Kolonel (PA) Razmi Rahmat, Pemangku Pengurus Besar Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, festival ini bukan sekadar pesta makanan, tetapi satu perjalanan budaya. Ia bertujuan untuk membawa keunikan Pantai Timur lebih dekat kepada masyarakat bandar dan juga pelancong antarabangsa. Acara ini juga diharap dapat menggalakkan lebih ramai pelancong untuk merancang percutian pandu sendiri ke Pantai Timur.
“Melalui gabungan kulinari, seni persembahan dan pengalaman interaktif, kami ingin membawa keunikanPantai Timur lebih dekat kepada masyarakat kota serta pengunjung antarabangsa,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian oleh wakil Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Datin Rafidah Idris, menekankan bahawa festival ini bukan sahaja memperkukuh jaringan industri pelancongan, tetapi juga menjadi pra-promosi penting menjelang VM2026. Ia turut menggalakkan pelancongan domestik seperti 'road trip' ke Pantai Timur, serta menyokong pelancongan 'niche' seperti ekopelancongan, pelancongan budaya dan gastronomi.
Antara tarikan utama festival ini adalah demonstrasi masakan bersama cef dan selebriti jemputan, persembahan budaya seperti dikir barat, gamelan, dan wayang kulit , serta persembahan busker dan aktiviti mesra keluarga.
Pengunjung juga berpeluang berinteraksi dengan selebriti di 10 ‘Celebrity Booth’ yang dikendalikan oleh Persatuan Karyawan Malaysia. Hadiah-hadiah menarik turut disediakan melalui cabutan bertuah.
Festival ini turut dilihat sebagai platform strategik untuk memperkenalkan keindahan dan keunikan Pahang, Terengganu, dan Kelantan kepada pasaran antarabangsa, terutamanya dengan kehadiran ribuan peserta dari acara antarabangsa yang lain di lokasi yang sama.
Pihak penganjur menyeru semua pencinta warisan dan budaya untuk datang merasai, meneroka dan menghayati warisan Pantai Timur di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini.









Komen