top of page

SMK Kota Kemuning Juara Sulung Selangor Future Cup 2024/2025

Writer: MYBMYB

SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung Kejohanan Selangor Future Cup 2024/2025: Lahirnya Lagenda, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) antara sekolah pertama di negeri Selangor.


SMK Kota Kemuning Juara Sulung Selangor Future Cup 2024/2025
Kami juara!!! Peserta dan wakil pengurusan SMK Kota Kemuning meraikan kejaayan sulung meraka dalam kejohanan E-Sukan Selangor Future Cup 2024/2025

Kejohanan yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam pada 22 dan 23 Februari lalu itu merupakan inisiatif Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, dengan kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK.


SMK Kota Kemuning berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM160,000 dalam bentuk biasiswa tajaan TODAK Academy bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), RM30,000 untuk pembangunan hab esukan di sekolah, RM5,000 wang tunai dan 20,000 MLBB diamonds.


Naib juara disandang oleh SMK Saujana Utama yang membawa pulang RM2,500 wang tunai dan 10,000 MLBB diamonds, manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh SMK Seksyen 19 dan SMK Bandar Sunway.


SMK Kota Kemuning Juara Sulung Selangor Future Cup 2024/2025
Barisan juara terdiri dari pelajar-pelajar dari SMK Kota Kemuning yang menjuarai kejohanan E-Sukan Selangor Future Cup 2024/2025 yang diadakan buat julung kalinya.

Timbalan Presiden TODAK, En. Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri berkata, "Kejohanan ini merupakan sebuah sejarah buat TODAK kerana buat pertama kali kami dapat menyumbang pendidikan buat industri esukan selain dari terlibat secara langsung dalam penganjuran. Ini selari dengan objektif kami dalam memberi keseimbangan antara sukan dan pendidikan terutama buat pelajar-pelajar sekolah."


"Sepanjang dua hari kejohanan ini berlangsung, kami dapat lihat ramai peserta yang mempunyai potensi besar dan saya percaya dengan bimbingan yang betul melalui program pembangunan atlet di TODAK dan SRG, kita mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional di masa hadapan," tambahnya.


Selangor Future Cup bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan platform untuk memperkenalkan bakat pemain muda kepada ekosistem esukan sambil menggalakkan keterlibatan komuniti dan semangat kesukanan. Sebanyak 64 sekolah dari seluruh Selangor telah mengambil bahagian, melibatkan 384 pelajar dalam acara ini.


SMK Kota Kemuning Juara Sulung Selangor Future Cup 2024/2025
YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Bin Shari diiringi Timbalan Presiden TODAK, En. Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri pada hari kumuncak yang juga merupakan hari pelancaran Selangor Future Cup 2024/2025 yang berlansung di AEON Mall Shah Alam semalam

Kejohanan yang dilancarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Bin Shari diiringi YB Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor ini juga menjadi salah satu platform dalam mengenalpasti bakat yang boleh diserap ke program pembangunan atlet esukan bagi misi SUKMA akan datang.


Selain TODAK Academy yang menaja biasiswa Diploma Kemahiran Malaysia, kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada AEON Mall Shah Alam sebagai penaja rasmi lokasi kejohanan dan Moonton Student Leaders (MSL) yang menyumbang in-app diamonds.


Menurut En. Mohd Ikmal Fareeq, beliau menerima banyak maklum balas positif dari pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa sepanjang kejohanan berlangsung dan beliau percaya platform ini dapat diperluaskan lagi dengan lebih banyak penyertaan dari sekolah-sekolah seluruh negeri Selangor pada tahun hadapan.



Comments


bottom of page