SURIA FM Berjaya Cipta Rekod Dalam MBOR
top of page

SURIA FM Berjaya Cipta Rekod Dalam MBOR

Updated: Jan 17, 2023

Kejayaan bersilih ganti berjaya diraih stesen radio Suria FM. Terbaru sebagai permulaan tahun 2023, stesen radio tersebut telah berjaya mencipta sejarah dalam industri penyiaran radio negara apabila menjadi stesen radio Malaysia pertama bersiaran secara lansung dari atas kapal persiaran mewah, Genting Dream sekali gus mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records.


Kejayaan bersama! Suria FM berjaya dalam misi mereka mencipta sejarah menjadi stesen radio Malaysia pertama bersiaran di atas kapal persiaran mewah Genting Dreams sekali gus mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records

Kejayaan tersebut tercipta menerusi segmen pagi Morning Morning Suria yang dikendalikan oleh trio penyampai Ajak, Suraya dan Shuib. Bertemakan 'Suria FM Membelah Samudera', segmen tersebut yang telah bersiaran selama dua jam pada 10 Januari 2023 bermula dari jam 8 hingga 10 pagi ketika kapal persiaran itu berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise, Pulau Pinang.


Bagi memeriahkan lagi segmen tersebut, Suria FM turut membawakan 3 selebriti jemputan iaitu Siti Nordiana, Amir Masdi dan Andi Bernadee. Lebih manis apabila ramai pendengar turut berkongsi ucapan tahniah atas kejayaan tersebut yang turut disiarkan menerusi platform rasmi media sosial Facebook dan Youtube Suria FM.


Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, turut menzahirkan kesyukuran dan keterujaannya dengan kejayaan tersebut yang beliau anggap sebagai pencapaian terbaik bagi permulaan tahun 2023 dalam memastikan stesen radio itu mencipta kelainan bagi menarik di hati pendengar.


Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid @ DJ Lin

“Alhamdulillah ini adalah pembukaan tahun 2023 yang sangat bermakna bagi kami dalam memastikan momentum stesen ini terus berada dekat di hati peminat.


“Sebenarnya saya secara peribadi memang berhasrat untuk melakar sejarah dalam MBOR sejak menjawat jawatan sebagai pengurus besar pada 2018.


"Akhirnya, hari ini sejarah tercipta dan kejayaan bersempena dengan sambutan ulang tahun Suria FM ke-15 pada November lalu tercapai berkat sokongan warga kerja kami.

"Bagi pihak Suria FM, kami amat berbesar hati dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Resorts World Cruises atas kerjasama baik bagi meraikan ulang tahun ke-15 Suria FM,” jelas Dj Lin lanjut.


Sementara itu, menurut Encik Michael Goh, Presiden Resorts World Cruises persahabatan dan kerjasama di antara Resorts World Cruises dengan SURIA FM sejak pertengahan bulan November 2022 amat bermakna dan menarik kerana ia turut diadakan sempena meraikan sambutan Ulang Tahun ke-15 SURIA FM.


"Bagi pihak Resorts World Cruises dan anak kapal Genting Dream, kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pencapaian terbaru di bawah ‘The Malaysia Book of Records’. Kejayaan SURIA FM sebagai 'Stesen Radio Pertama Bersiaran di atas Kapal Pesiaran' sememangnya bertepatan dengan sambutan tahun baru 2023.


"Kerjasama kami juga tepat pada masanya kerana kapal kami akan terus berlayar dari Pelabuhan Klang sehingga awal tahun 2024 untuk menawarkan pelbagai pelayaran percutian ke Pulau Pinang, Singapura dan Phuket dengan tawaran makanan dan minuman Halal yang diperakui.


"Initiatif ini akan membolehkan kami terus mengembangkan dan mempromosikan percutian pelayaran sebagai pilihan di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya bagi pasaran Melayu,” jelas Encik Michael Goh.


GALERI



Detik bersejarah itu turut disaksikan oleh pengerusi Star Media Radio Group (SMRG) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group Bhd, Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse serta Cik Lee Pooi Leng, Pengurus Pejabat Malaysia Book of Records dan Cik Siti Hajar Binti Johor, Perunding Rekod Kanan Malaysia Book of Records. yang turut serta bagi memantau siaran lansung tersebut.


Majlis penyampaian sijil rasmi ‘The Malaysia Book of Records’ kepada Suria FM dan Resorts World Cruises telah diadakan di sebuah majlis khas secara ekslusif di atas kapal persiaran Genting Dream pada 11 januari 2022 (Rabu).


Terdahulu, Suria FM pada tahun 2022 mencipta kejayaan cemerlang sepanjang 15 tahun bersiaran apabila berjaya melonjakkan stesen radio tersebut pada kedudukan nombor tiga paling popular di Malaysia dengan purata melebihi 3.5 juta bilangan pendengar seminggu.

bottom of page