Suria FM Cipta Rekod Baru Lagi!
top of page
  • Writer's pictureMYB

Suria FM Cipta Rekod Baru Lagi!

Stesen radio pilihan rakyat Malaysia, Suria FM sekali lagi berjaya mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records. Kejayaan kali ini merupakan hasil koloborosi bersama stesen radio itu dengan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape), meraih pengiktirafan sebagai “Universiti Pertama Menjalankan Pengambilan Pelajar dengan Trak LED" menerusi program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 bersama crew Suria Wheels, Afiq dan Awien.


Suria FM Cipta Rekod Lagi
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) serta Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman sewaktu majlis penyerahan plak pengiktirafan dari wakil The Malaysia Book of Records baru-baru ini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) mengungkapkan kesyukuran dan kegembiraan atas kolaborasi bersama UKM serta harapannya untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.


Menurut Dj Lin, kolaborasi ini menjadi contoh nyata bagaimana inovasi dalam dunia penyiaran dan pendidikan tinggi boleh berganding bahu untuk mencapai kejayaan yang luar biasa.


"Bukan hanya mengukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi pendidikan terkemuka, tetapi juga membuktikan kebolehupayaan Suria FM sebagai sebuah stesen radio dalam membawa pendekatan kreatif dalam mempromosikan pendidikan tinggi di Malaysia," kata DJ Lin.


Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman juga memberikan pandangan mengenai kolaborasi ini. Beliau menjelaskan bahawa UKM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia, tidak terhad hanya pada bilik kuliah semata-mata. Inisiatif ini mencerminkan hasrat UKM untuk menjadikan pendidikan mudah diakses oleh semua.


"Dalam dunia yang sentiasa bergerak pantas dan terdapat pelbagai teknologi baharu, kita harus peka dengan perubahan semasa. UKM sentiasa terbuka untuk menerima dan melaksanakan idea-idea baharu yang bernas bagi memanfaatkan teknologi yang ada semaksima mungkin, terutamanya berkaitan dengan perkembangan pendidikan," jelas Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman.


Kolaborasi antara Suria FM dan UKM ini membuktikan bahawa mereka adalah pakar dalam bidang penyiaran serta pendidikan tinggi. Suria FM, sebagai sebuah stesen radio yang popular mampu menggunakan pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk mempromosikan pendidikan. Mereka menerobos jauh dengan menggunakan trak LED untuk menjemput pelajar-pelajar yang berminat mendaftar di UKM.


Sementara itu, UKM juga menunjukkan keupayaan mereka dalam mengadaptasi teknologi yang ada untuk memudahkan akses pendidikan. Inisiatif ini membuktikan bahawa UKM tidak hanya berfokus pada pembelajaran di bilik kuliah, tetapi juga mahu memberi peluang kepada semua individu untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.


bottom of page