Suria FM Kini Antara Tiga Stesen Radio Melayu Teratas Di Semenanjung
- MYB
- 5 jam lalu
- 1 min membaca
Kuala Lumpur — Suria FM terus membuktikan keunggulannya dalam dunia penyiaran apabila berjaya menempatkan diri dalam tiga teratas stesen radio berbahasa Melayu di Semenanjung Malaysia, menurut laporan terkini Nielsen Consumer & Media View (CMV) bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.

Dengan 3.3 juta pendengar bulanan, Suria FM bukan sahaja menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, malah turut mencatat prestasi luar biasa di platform digital. Sepanjang tahun lalu, Suria meraih lebih 113 juta tontonan video, 53 juta pendengar digital, 32 juta paparan skrin halaman, serta 5.84 juta pengikut dan pengguna aktif di pelbagai saluran media sosial dan digital.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil sokongan padu daripada pendengar setia dan dedikasi seluruh warga kerja Suria.
“Kami amat menghargai kepercayaan jutaan pendengar dan pengguna digital yang memilih Suria sebagai teman hiburan harian. Sokongan ini menjadi dorongan untuk kami terus menghasilkan kandungan yang segar, relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia,” ujar DJ Lin.
Beliau juga menambah bahawa kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh warga Suria yang komited memberikan pengalaman terbaik kepada pendengar, sama ada di radio mahupun platform digital.
Kejayaan ini turut memperkukuh jenama Suria sebagai peneraju hiburan yang bukan sahaja dominan di radio, malah semakin menguasai dunia digital sekaligus menjadikan Suria FM sebagai simbol evolusi media moden yang berjaya menggabungkan tradisi dan teknologi.