Syria Care Lancar HUMAM Relief, Luaskan Misi Kemanusiaan Malaysia ke Pentas Dunia
- MYB
- 2 hari lalu
- 2 min membaca
SHAH ALAM – Pertubuhan Syria Care telah menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kemanusiaannya dengan pelancaran Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief. Organisasi baharu ini ditubuhkan untuk memperluaskan misi kemanusiaan Malaysia ke pentas global, termasuk operasi bantuan di dalam negara sendiri.

Serentak dengan pengumuman pada 28 September 2025 itu, Syria Care turut melancarkan logo baharu sebagai simbol aspirasi yang diperbaharui dan kematangan perjalanan organisasi yang telah berkhidmat lebih sedekad.
Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, HUMAM Relief ditubuhkan pada tahun 2024 sebagai kesinambungan kepada pengalaman dan pencapaian Syria Care. Namun, HUMAM Relief membawa visi yang lebih luas, bukan sekadar bantuan kecemasan, tetapi membina masa depan yang lebih bermaruah dan lestari untuk komuniti rentan di seluruh dunia.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’ tetapi akan memikul tanggungjawab sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care kekal fokus di bumi Syam, manakala HUMAM Relief akan membawa pengalaman itu ke pentas global,” ujar beliau.

Walaupun baru setahun didaftarkan secara rasmi, HUMAM Relief telah melaksanakan projek awal di beberapa negara termasuk pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah rosak akibat konflik di Syria, serta program W.A.S.H di Malaysia yang merangkumi inisiatif kesihatan wanita dan haid bersama agensi kerajaan dan rakan korporat.
Sejak ditubuhkan pada 2012, Syria Care telah berkembang daripada sebuah bilik kecil bersama sukarelawan kepada NGO berimpak besar, termasuk menjadi NGO Malaysia pertama yang didaftarkan secara rasmi di Syria.

Antara pencapaian utama Syria Care termasuk Projek Perumahan Kampung Malaysia di Idlib yang menempatkan 274 keluarga, penajaan hampir 6,000 anak yatim, pembinaan 19 sekolah, dan penubuhan rumah anak yatim serta warga emas Dar As Sakinah di Jisr Al-Shughur.
Kini, Syria Care akan terus menumpukan usaha di rantau Syam – Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief akan menjadi sayap global yang memperluas capaian bantuan kemanusiaan Malaysia ke seluruh dunia.
Siti Sakinah menutup ucapannya dengan menyeru sokongan berterusan rakyat Malaysia. “Misi ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief sahaja, tetapi milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk menjaga maruah sesama insan,” katanya.
Komen