“Talk To My Manager”: Pentas Impian, Legasi Keluarga Bersatu Dalam Dunia Hiburan
- MYB
- 14 Ogo
- 2 min membaca
Astro sekali lagi mencetuskan fenomena baharu dalam dunia hiburan tanah air dengan memperkenalkan program realiti terbaharu berjudul Talk To My Manager, sebuah rancangan yang menyatukan impian generasi muda dan legasi keluarga selebriti dalam satu pentas penuh emosi dan kreativiti.

Bermula 24 Ogos ini, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria, penonton akan disajikan dengan pertandingan unik yang menampilkan pasangan artis dan pengurus yang bukan calang-calang, tetapi terdiri daripada ibu bapa selebriti dan anak mereka sendiri. Anak-anak akan beraksi sebagai penghibur utama, manakala ibu bapa mereka bertindak sebagai pengurus yang mengarah dan membimbing setiap persembahan.
Program ini lahir daripada fenomena yang semakin ketara dalam industri hiburan menjurus kepada kemunculan bakat generasi kedua yang membawa nafas baharu sambil meneruskan warisan seni keluarga. Dari nyanyian ke lakonan, komedi hingga tarian, Talk To My Manager meraikan hubungan istimewa antara ibu bapa dan anak dalam usaha menakluk pentas hiburan.
Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah perjalanan emosi yang memperlihatkan bagaimana kepercayaan, dedikasi dan kasih sayang dalam keluarga mampu melahirkan persembahan yang luar biasa. Ia juga menjadi bukti bahawa kejayaan dalam dunia hiburan bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi turut memerlukan ketahanan mental dan sokongan yang padu.

Antara pasangan yang bakal mencuri perhatian termasuk Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie serta Liza Hanim & Marsya.
Setiap minggu, mereka akan menempuh cabaran kreatif, mengasah kemahiran dan mempersembahkan aksi bertenaga sambil menguji kesabaran, kerjasama dan keserasian unik yang hanya wujud dalam hubungan keluarga.
Program ini akan dikemudi oleh pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama juri profesional Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal. Penjurian akan berdasarkan 60% kepada strategi dan kreativiti pengurus, serta 40% kepada persembahan dan vokal artis.

Selain konsert mingguan, penonton juga boleh mengikuti kandungan eksklusif seperti Studio Talk To My Manager yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 malam, memaparkan persiapan dan latihan artis bersama pengurus masing-masing.
BTS Talk To My Manager pula akan disiarkan setiap Rabu jam 8.30 malam, menampilkan sorotan belakang tabir dan momen latihan intensif. Untuk penonton digital, Talk To My Manager Live+ akan disiarkan secara langsung di www.gempak.com ketika konsert berlangsung, dihoskan oleh Mika Nabil dan Fiza Frizzy.
Untuk menikmati sepenuhnya pengalaman hiburan ini, penonton boleh melanggan Pek Astro One pada harga RM49.99 sebulan atau meningkatkan penstriman dengan Astro Fibre 500Mbps dan Pek Hiburan pada RM139.99 sebulan.
Talk To My Manager bukan sekadar rancangan realiti, tetapi sebuah kisah inspirasi yang menyatukan generasi dan membuktikan bahawa legasi seni keluarga mampu mencipta magis di pentas hiburan Malaysia.









Komen