Kehadiran kelibat penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang', Tegar Septian dalam program realiti Big Stage 2022 sememangnya mencuri perhatian ramai.
Manakan tidak, Tegar kini kembali ke Malaysia untuk menjadi sebagai salah seorang peserta program tersebut dan dipuji ramai kerana semakin kacak.
"Sekarang saya harus jaga penampilan kerana dahulu saya memang tidak menjaganya. Sekarang bukan setakat penampilan malah sikap juga harus dijaga" kata Tegar
Menurut Tegar, dia bersyukur dan gembira kerana dapat sertai Big Stage 2022 dan sebagai buah tangan buat peminat yang merinduinya,Tegar turut mendendangkan lagu hits nya itu yang diberi nafas baharu pada konsert pengenalan.
"Alhamdulillah saya berkesempatan untuk masuk Big Stage 2022 dan menyanyikan lagu hits saya Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang dalam versi baharu .
"Saya bersyukur dapat kembali kerana sudah lama tidak dapat membuat persembahan dimana-mana disebabkan Covid-19. Lagu tersebut merupakan versi baharu yang saya gubah sendiri dan berbeza sesuai dengan judul lagunya" katanya lagi.
Bercakap mengenai penyertaannya di Big Stage 2022, Tegar mengakui terasa akan cabaran yang perlu dihadapinya memandangkan majoriti peserta program tersebut kali ini mempunyai kekuatan dan kelebihan mereka tersendiri.
Malah, Tegar tidak menolak berkemungkinan akan menghadapi masalah penggunaan bahasa Malaysia yang tepat memandangkan dia bakal menyanyikan lagu Assalamualaikum nyanyian asal Faizal Tahir pada minggu kedua program itu Ahad ini. Bagaimanapun, jelas Tegar dia akan membuat sebaik mungkin bagi mendapatkan kedudukan yang selesa dalam pertandingan itu.
"Persaingannya sangat terasa kerana mereka semua hebat tetapi saya disini hanya ingin membuat yang terbaik." Tegar Septian
"Saya berhadapan dengan banyak cabaran terutamanya saya harus menghafal lagu dalam Bahasa Malaysia dan perlu buat yang terbaik. Semoga tidak ada kesalahan yang ketara dan dipermudahkan segalanya" katanya
Dalam perkembangan lain, Tegar juga mendedahkan sudah mula merindui isteri dan anaknya berikutan terpaksa berpisah untuk sementara waktu sepanjang berada di Malaysia.
"Saya akui berasa rindu dengan anak dan isteri tetapi saya bersyukur boleh buat panggilan video, minta mereka doa dan sokong saya.
"Mereka tidak melarang saya ke sana sini kerana niat saya hanya ingin mencari wang untuk keluarga. Alhamdulillah mereka sokong" katanya menutup bicara
Tegar ditemui di sidang media konsert minggu pertama Big Stage 2022 pada malam Ahad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Selain Tegar, program realiti 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) itu turut disertai 11 peserta lain terdiri daripada Aisha Retno, Alica Paujin, Tuah Adzmi, Lia Aziz, Yazmin Azi, Sofia Marieylla, Ajoi Zainal Chuer, Syafiq Abdillah,Iqbal Zulkefli dan Megat Rahim.
Comments