top of page
  • MYB

Telefilem Seram ‘CENDUAI’ Hiasi Slot Ohsem Tele Di Saluran Awesome TV

Istimewa buat peminat drama Melayu tempatan, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati membawakan sebuah telefilem seram baharu berjudul ‘Cenduai’ yang bakal ditayangkan menerusi slot Ohsem Tele pada hari Ahad ini, 15 Januari 2023, jam 9.00 malam secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112).



Telefilem ‘Cenduai’ terbitan produksi Million Works Media Sdn Bhd ini berkisarkan tentang amalan penggunaan minyak pengasih yang bercanggah dengan ajaran Islam tetapi masih diamalkan secara berleluasa oleh segelintir masyarakat Melayu negara ini secara khususnya.


Telefilem menarik arahan Datuk Jurey Latiff ini dibintangi oleh Syazwan Zulkifly yang membawa watak sebagai Chalit/Raimi, Wafariena sebagai Inspektor Lia, Jaja Iliyes sebagai Inang, Fathil Dani sebagai Wak Kandar, Nur Azifah sebagai Mak Esah, Aizad Rosli sebagai Uda serta ramai lagi.

Telefilem ‘Cenduai’ berkisarkan tentang Chalit yang dilahirkan dengan fizikal serta wajah cacat. Kecacatan yang dipercayai berpunca daripada sumpahan ke atas keturunan ibunya sejak berkurun lamanya. Bidan Esah yang menyambut kelahiran Chalit juga telah diugut supaya merahsiakan keadaan tersebut.


Kelahiran Chalit juga turut menjadi punca keretakkan rumahtangga ibu bapanya. Malah, Chalit juga hampir dibunuh bapa kandungnya sendiri yang percaya Chalit dilahirkan bersama Qarin jahat namun telah diselamatkan oleh ibunya. Bapanya kemudian menghilangkan diri.


GALERI


Chalit dikurung di ruang sempit bawah rumah sepanjang tumbesaran sehingga umurnya mencecah belasan tahun. Pengamatannya terhadap dunia luar hanyalah melalui celahan papan tempat kurungan.

Setelah meningkat dewasa, Chalit telah diserahkan kepada Wak Kandar untuk dipelihara. Sejak itu, Chalit juga mula membantu Wak Kandar menggali kubur. Suatu hari, dia telah terdengar bisikan Qarin yang mahu “membantu” Chalit untuk keluar daripada kesengsaraannya dengan cara mendapatkan dan menggunakan minyak dagu daripada mayat gadis sunti.


Semenjak menggunakan minyak tersebut, wajah Chalit bertukar menjadi kacak dan kini lebih dikenali sebagai Raimi. Demi mengekalkan ketampanan wajahnya, Raimi menjadi obses dalam memburu gadis sunti untuk mendapatkan minyak dagu.

Jangan lupa saksikan telefilem ‘Cenduai’ yang bakal ditayangkan menerusi slot Ohsem Tele pada hari Ahad ini, 15 Januari 2023, jam 9.00 malam secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112).


0 comments
bottom of page